Home Politik PN tidak stabil, bercanggah bukan model baik untuk Sabah – Guan Eng

PN tidak stabil, bercanggah bukan model baik untuk Sabah – Guan Eng

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah membuktikan dengan jelas bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN), atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan model yang baik untuk Sabah.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ini kerana PN didakwa sebuah kerajaan yang tidak stabil, lemah, keliru, bercanggah sesama sendiri dan kerap melanggar undang-undang.

Malah katanya PN atau GRS gagal untuk bersatu di bawah seorang calon Ketua Menteri dan gagal bersetuju untuk tidak bertanding antara satu sama lain dalam 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

“Sebaliknya Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah tidak melawan satu sama lain di mana-mana kerusi dan bersetuju untuk mengekalkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Guan Eng juga mendakwa Kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua timbalan menteri dalam Kabinetnya sendiri tidak menghormati pengundi Sabah dalam isu pendidikan, baru-baru ini.

“Dua Timbalan Menteri tidak menunjukkan sebarang rasa hormat kepada Veveonah Mosibin. Muhyiddin tidak menunjukkan rasa hormat kepada pengundi Sabah, kerana dia atau Putrajaya cuba memutuskan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah seterusnya.

“Wajarkah Sabah tunduk kepada GRS atau Muhyiddin?” soalnya.

Menurutnya lagi, semasa Muhyiddin hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Parlimen, rakyat tidak menyangka Menteri-Menteri PN akan bercanggah sesama sendiri, tidak mengikut dan mematuhi undang-undang, membangkitkan sentimen perkauman dan agama atau menyebarkan berita palsu.

“Dua Timbalan Menteri menyebarkan berita palsu dan bukannya mengamalkan slogan kerajaan PN sendiri, yakni tidak pasti jangan kongsi.

“Malah telah melakukan buli siber terhadap pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) hanya kerana dia mendedahkan bahawa dia terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik di Pitas, Sabah,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan PN bukan model yang baik untuk rakyat Sabah kerana beberapa menterinya sendiri berbalah dan gagal mencapai kata putus dalam soal pandemik Covid-19.

“Rakyat Malaysia telah melihat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka menyangkal kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai kemungkinan mengenakan kuarantin wajib kepada mereka dari Semenanjung yang telah pergi ke Sabah untuk PRN Sabah sebaik sahaja mereka pulang ke Semenanjung.

“Kerajaan Persekutuan PN yang tidak stabil, lemah, keliru, bercanggah sesama sendiri dan melanggar undang-undang bukan model yang baik untuk Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette