Home Nasional Jangkitan Covid-19 di Tawau, Lahad Datu masih terkawal – Ismail Sabri

Jangkitan Covid-19 di Tawau, Lahad Datu masih terkawal – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Tawau dan Lahad Datu.

Ini kerana, kes jangkitan Covid-19 di dua-dua kawasan itu masih terkawal.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 14 September 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 3,981 individu di Tawau dan 1,421 Lahad Datu.

Hasil daripada saringan itu mendapati seramai 331 kes positif direkodkan di Tawau dan 89 di Lahad Datu.

Daripada 331 kes positif di Tawau, sebanyak 305 kes adalah dalam kalangan banduan dan 89 kes positif di Lahad Datu pula, 86 membabitkan Orang Kena Tuduh di lokap-lokap balai polis.

KKM sedang menjalankan pemantauan kes jangkitan di luar kawasan penjara dan lokap.

”Setakat ini Mesyuarat Khas masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD di Tawau dan Lahad Datu kerana ia melibatkan lebih 511,000 orang penduduk di Tawau dan 266,000 di Lahad Datu.

“Jika PKPP dilaksanakan jumlah ini akan terlibat dari aspek pergerakan dan aktiviti harian mereka dan polisi yang ditetapkan kita akan hanya laksana PKPD berdasarkan lokaliti berlaku peningkatan mendadak Covid-19.

“Namun KKM akan membuat saringan secara bersasar yang melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Antara lokasi yang dikenal pasti adalah Mukim Sri Tanjung (7 lokasi), Wallace Bay (1 lokasi) dan Merotai (6 lokasi).

Selepas itu. KKM akan membuat penilaian sama ada wujud keperluan untuk melaksanakan PKPD Secara Pentadbiran.

Menurut Ismail, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM juga telah mengenal pasti pusat-pusat kuarantin yang akan digunakan sama seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang.

“Kita telah mengenal pasti satu blok di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu sebagai pusat kuarantin berisiko rendah.

“Mana yang positif akan dihantar ke hospital,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun tiada pelaksanaan PKPD, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan tempat awam yang sesak dan mengamalkan kawalan kendiri seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. – MalaysiaGazette