TAWAU – Kesemua 31 calon Barisan Nasional (BN) sedang dipantau prestasi mereka.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan kesemua kerusi yang ditandingi oleh parti itu memperoleh kemenangan pada 26 September depan.
“Saya serta Setiausaha BN dan rakan Majlis Tertinggi sedang memantau bukan hanya prestasi kempen yang dijalankan oleh BN di seluruh 31 kawasan DUN yang diwakili oleh calon BN tetapi kita juga melihat tentang trend sokongan kepada calon-calon kita bukan hanya melalui keadaan kempen konvensional tetapi melalui kempen komunikasi tanpa lisan.
“Dalam hal ini kita memantau tentang berapa jumlah ahli-ahli UMNO bagi tiap-tiap kawasan DUN dan kita melihat perinciannya melalui PDM,” katanya ketika menghadiri Program Ramah Mesra Presiden UMNO bersama-sama pengundi-pengundi di PPR Balung, DUN Balung, Tawau, hari ini.
Hadir pada majlis itu adalah Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kemenangan BN di Sabah bukan hanya bergantung kepada calon-calonnya sahaja malah rakyat di negeri ini juga mahu BN kembali memerintah.
“Kita lihat bahawa trend keseluruhannya pengundi di Sabah mahukan BN memerintah kembali Sabah.
“Kami mengambil beberapa pendekatan dan diharap agar pendekatan ini akan memberikan kelebihan kepada calon-calon kita dan berusaha dengan sebaik mungkin agar trend ini berterusan hingga pada 26 September nanti,” katanya lagi.
Selain BN yang bertanding di 31 kerusi DUN, Perikatan Nasional (PN) turut bertanding di 29 kerusi.
Daripada kerusi-kerusi itu, 17 kerusi menyaksikan pertembungan antara BN dan PN iaitu di Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan dan Tanjung Aru.
Kebanyakan kawasan pilihan raya itu terletak di pedalaman, tengah serta bahagian utara Sabah dengan sebilangan besar mempunyai majoriti pengundi Kadazandusun dan Murut. – MalaysiaGazette