Home Politik Wanita UMNO jangan kerja bermusim – Shahrizat

Wanita UMNO jangan kerja bermusim – Shahrizat

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR – Ahli dan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO diingatkan mendekati masyarakat di setiap peringkat pada setiap masa dan tidak turun padang secara bermusim.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, seluruh jentera Wanita UMNO perlu sentiasa bersama rakyat akar umbi sebagaimana gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sudah minta Wanita UMNO untuk terus menjalankan program-program kemasyarakatan kerana selaku pemimpin parti, kita menjadi tulang belakang kepada kerajaan.

“Paling mustahak kita mesti membela nasib rakyat. Presiden selalu ingatkan Wanita UMNO adalah ibu terbaik bangsa mengeratkan tali silaturrahim, membawa kepada penyatuan, menjadi mata dan telinga rakyat,” katanya kepada pemberita pada program Tadarus dan Khatam Quran di Surau An-Nur Falah, Taman Permata Fadason, Kepong di sini hari ini.

Pada majlis sama, Shahrizat turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai RM200 dan barang keperluan kepada 150 penerima yang tidak bernasib baik di kawasan Kepong.

Mengulas lanjut, Shahrizat juga berkata, Wanita UMNO perlu membantu kes kebajikan masyarakat dengan memaklumkan kepada Yayasan Kebajikan Negara untuk tindakan lanjut.

“Inilah tugas dan tanggungjawab Wanita UMNO menjadi mata dan telinga rakyat sentiasa mendampingi, program-program yang kita buat mesti berasaskan kemasyarakatan

“Kitalah pembela utama rakyat Malaysia. Inilah keistimewaan kerja-kerja yang dijalankan oleh Wanita UMNO dan kita sentiasa bersama rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agak mengamalkan kesederhanaan sepanjang menjalani ibadah puasa dan membuat persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Apa jua kita buat, kita mesti ada kesederhanaan, kesederhanaan itu mesti menjadi ukuran dan panduan apabila menjalani ibadah puasa dan menyambut Syawal.

“Apa yang paling mustahak ialah pengeratan tali silaturahim di antara ahli keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette