Home Politik Calon BN DUN Darau dakwa Bersatu tak bantu kempen

Calon BN DUN Darau dakwa Bersatu tak bantu kempen

Calon Barisan Nasional (BN) N.17 Darau, Datuk Jumat Idris.

KOTA KINABALU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Jumat Idris mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bekerjasama membantu pihaknya berkempen.

Menurutnya, sehingga hari ini, kerjasama baik daripada rakan-rakan parti lain adalah baik kecuali Bersatu sedangkan mereka merupakan satu pakatan bersama.

Selain Jumat mewakili BN, DUN Darau ditandingi oleh lima calon lain itu dari Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Demokratik Liberal (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

“Bagi pihak kami di DUN Darau berusaha sebaiknya untuk memberikan satu kerusi untuk BN Sabah saya bersyukur kerana semua parti gabungan kita Pas, SAPP, STAR, PBRS bekerja keras.

“Cuma satu parti yang belum nampak memberi kerjasama iaitu Bersatu.

“Kita harap kita berdoa semoga  mereka terbuka hati bekerjasama dengan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas di Majlis Ramah Mesra Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Pengarah BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun ironinya majlis itu tidak dihadiri oleh Mohamed Azmin.

Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Yakubah Khan, Mohamed Azmin tidak dapat hadir pagi ini kerana ada hal yang  tidak dapat dielakkan.

“Salam maaf daripada Datuk Seri Azmin Ali yang mana beliau tidak dapat bersama kita, beliau memaklumkan ada perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Semalam Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu  mengulangi kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini untuk mengangkat Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.