Home Nasional SPRM jangan pilih kasih, siasat segera skandal tanah rizab Sabah – Guan...

SPRM jangan pilih kasih, siasat segera skandal tanah rizab Sabah – Guan Eng

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dakwaan rampasan tanah rizab hutan seluas 700,000 ekar di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pendedahan terbaharu yang dibuat bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu bukan hanya melibatkan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta kerajaan untuk kepentingan peribadi diri sendiri atau anggota keluarga.

Rampasan rizab hutan itu juga tegas Guan Eng, berbahaya kepada alam sekitar dan hidupan liar, kepelbagaian biologi dan komitmen antarabangsa Malaysia untuk memelihara hutan simpan negara.

“Rampasan tanah rizab hutan seluas 700,000 ekar ini sangat besar, sehingga hampir tiga kali keluasan negeri Pulau Pinang.

“Kegagalan SPRM bertindak sekali lagi akan menunjukkan sikap “antara dua darjat” SPRM yang memihak kepada pemimpin politik pro-PN (Perikatan Nasional).

“Ini berbeza apabila SPRM bertindak begitu pantas untuk memanggil penanam durian Musang King di Raub untuk disoal siasat, hanya kerana tekanan daripada parti komponen PN,” katanya sambil menambah hanya kemenangan Warisan Plus dalam pilihanraya negeri membolehkan skandal rampasan tanah itu boleh disiasat SPRM.

Guan Eng juga meminta bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan adiknya yang juga bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Amah untuk tampil memberi penjelasan dan bersikap jujur dengan rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah tidak akan lupa bahawa setiausaha politik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah mereka yang pergi menemui Yang DiPertua Negeri Sabah bagi pihak mantan Ketua Menteri Sabah itu, untuk cuba membentuk kerajaan pintu belakang yang baru dengan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Percubaan PN dan mantan Ketua Menteri Sabah ini untuk membentuk kerajaan pintu belakang negeri Sabah gagal, kerana Shafie bertindak tangkas, menghentikan cubaan mencuri mandat rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.