KUALA LUMPUR- Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih kenali sebagai MA 63 perlu didokong sepenuhnya supaya seluruh rakyat tidak kira sama ada di Semenanjung, Sabah mahu pun Sarawak menerima bahawa tiga wilayah ini telah bergabung sebagai rakan kongsi setara.
Menurut bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, MA 63 juga adalah satu titik pertemuan yang mengikat hubungan di antara tiga wilayah itu supaya tidak terlerai.
“Memang benar, di dalam sebuah keluarga besar, ada kala timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan kita dan ia perlu dinilai dan dicari satu titik pertemuan supaya hubungan kita tidak terlerai.
“Kerana itu, kita menyokong permintaan supaya Malaysia Agreement 1963 atau yang kita kenali sebagai MA 63 didokong sepenuhnya dan kita terima bahawa Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah tiga wilayah yang bergabung sebagai rakan kongsi setara.
“Saya yakin, jika semangat dan persetujuan yang telah dimeterai dahulu dapat kita hayati dan laksanakan, segala kemusykilan dapat kita leraikan.
“Apabila ini tercapai, sudah pasti kita boleh maju ke depan dengan langkah yang lebih gigih dan jitu,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia yang disambut pada hari ini.
Dalam teks yang sama, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu turut mengimbas detik bersejarah ketika Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman melakukan pemasyuran Malaysia di Stadium Merdeka pada 16 September 1963.
“Saya sudah berumur 38 tahun ketika itu.Perasaan saya ketika itu bercampur-baur. Bangga, kerana Persekutuan Tanah Melayu akan bersama Borneo Utara yang kemudian dikenali sebagai Sabah, Sarawak dan Singapura akan bergabung untuk membentuk Negara besar Malaysia.
“Saya juga berdebar-debar kerana pembentukan itu mendapat tentangan yang agak hebat dari beberapa negara jiran.
“Alhamdulillah, hari ini sudah 57 tahun kewujudan Malaysia. Banyak yang kita lalui bersama. Sudah jauh kita melangkah. Singapura telah keluar tetapi keutuhan hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh dan terus disemai.- MalaysiaGazette
Sokong TUN