Home Nasional G3RAM kena dapat maklumat dulu sebelum pertikai Pejuang – Rafique

G3RAM kena dapat maklumat dulu sebelum pertikai Pejuang – Rafique

Pejuang Tanah Air (Pejuang) mungkin menggunakan panji Amanah untuk bertanding dalam PRU-15- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM) dinasihatkan agar mendapatkan maklumat penuh yang tepat mengenai proses pendaftaran parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ini kerana parti itu dikemudi oleh Badan Penggerak Proses Pendaftaran yang diterajui oleh tujuh pengasas utama dan mereka inilah yang berurusan dengan pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata Penasihat Undang-Undang Urusetia Penaja Parti Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Beliau berkata, G3RAM juga boleh mengkaji dan meneliti Borang Tunjuk Minat Pejuang kerana ia hanya sekadar borang tunjuk minat bukannya permohonan untuk keahlian.

“Permohonan keahlian tidak boleh lagi kerana permohonan parti belum lulus. Mungkin juga G3RAM boleh melakukan laporan-laporan susulan kepada mana-mana pihak berkuasa ke atas Perikatan Nasional, Muafakat Nasional atau apa-apa lagi gabungan politik ‘mingguan’ kerajaan kerana jelas gabungan ini juga sentiasa mempromosi logo dan matlamat mereka walaupun kelulusan gabungan ini juga amat meragukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, G3RAM membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat sebaran dan siaran logo berbentuk Parti Pejuang sedangkan ia masih belum berdaftar secara sah.

Timbalan Presidennya, Megat Muhammad Faris Megat Ismail mendakwa, bukan sahaja logo bahkan ia cuba menarik keahlian secara dalam talian walaupun pendaftarannya belum diluluskan oleh Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Mengulas mengenai laporan yang dibuat, Muhammad Rafique berkata, Megat Muhammad Faris mungkin mempunyai sedikit salah tanggapan apabila membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya sedangkan pihak berkuasa atau pengua tkuasa undang-undang berkenaan sesuatu pertubuhan atau badan politik adalah RoS atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Sejak 7 Ogos lalu, tujuh pengasas utama Pejuang telah secara terbuka menyatakan hasrat mereka menubuhkan Pejuang malah logo dan matlamat Pejuang juga jelas terpampang dimana-mana.

“Maka ROS harus memberi respon seberapa segera yang mungkin mengenai status permohonan Pejuang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siasat segera logo mirip Pejuang, tarik keahlian dalam talian – G3RAM