Home Politik Manifesto USNO: TPM dari Sabah, Sarawak jika menang PRN

Manifesto USNO: TPM dari Sabah, Sarawak jika menang PRN

Pandikar Amin Mulia

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) akan memperjuangkan jawatan seorang timbalan perdana menteri dari Sabah atau Sarawak sekiranya diberi mandat menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini.

Hal itu terkandung dalam inti pati manifesto parti berkenaan yang dilancarkan Ketua Umumnya Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu majlis di sini hari ini.

Berucap pada majlis itu, Pandikar Amin berkata manifesto USNO pada pilihan raya kali ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Rundingan Baharu dan Tawaran Baharu USNO 2020, masing-masing menggariskan lima serta lapan elemen.

Beliau berkata rundingan dan tawaran baharu itu dibuat selepas mempertimbang perubahan suasana, pemikiran dan keupayaan masyarakat Sabah serta bentuk perhubungan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan di alaf baharu.

Katanya manifesto USNO ke arah mengangkat martabat dan mensejahterakan rakyat Sabah itu juga antara lain akan memastikan seorang menteri kanan dari Sabah dilantik mengisi kabinet Persekutuan merangkumi Kementerian Kewangan, Pembangunan Luar Bandar, Pendidikan serta Pertahanan.

Pandikar Amin berkata USNO juga mahu memastikan semua ketua jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan di Sabah disandang oleh orang Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam negeri akan menyelaras pelantikan itu.

Turut digariskan ialah memperkasa keselamatan rakyat dan negeri Sabah yang antara lain memastikan pemberian dokumen pengenalan kerakyatan di negeri itu diurus serta diluluskan kerajaan negeri, katanya.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur dan keperluan asas rakyat akan terus diperjuang; mengkaji semula hasil dan royalti petroleum selain memastikan Sabah dibenar meminjam dana serta menerbitkan bon di luar negara dengan jaminan Kerajaan Persekutuan.

Pandikar Amin juga berkata antara tawaran baharu dalam manifesto USNO ialah memastikan kerajaan bersih tanpa rasuah dengan semua urusan kerajaan negeri adalah berasaskan merit dan keperluan rakyat.

Katanya manifesto USNO pada PRN Sabah ke-16 ini juga akan memastikan semua cukai di negeri itu dikutip, dikawal dan diagih oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Sabah sebelum dikongsikan kepada Putrajaya.

USNO juga akan memelihara tanah adat dan hak-hak Bumiputera Sabah selain memastikan budaya, bahasa dan kepercayaan etnik di negeri itu diperkasa antara lain menerusi pembinaan sekolah etnik menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, bekas Speaker Dewan Rakyat tersebut berkata tuntutan USNO kepada Putrajaya yang terkandung dalam manifesto berkenaan adalah berasaskan perlembagaan, bukan Perkara 20 mahupun Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Aspirasi saya, kalau USNO ditakdirkan memerintah atau (membentuk) kerajaan campuran maka kita akan memberitahu rakyat perkara sebenar seperti tuntutan USNO 2020.

“Tuntutan kita lebih hebat. Kita mahu menuntut bahawa kita mesti dianggap dan dilihat sebagai sama taraf dengan orang-orang di Kuala Lumpur,” kata Pandikar Amin yang bertanding di kerusi DUN Pintasan pada PRN Sabah kali ini.

Seramai 47 calon USNO akan bertanding merebut kerusi DUN pada PRN itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 Sept dengan sejumlah 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya itu.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.- BERNAMA

1 Komen

  1. Yg tu ko kena menang PRU dgn majoriti 2/3 baru ko boleh pinda perlembagaan…setakat PRN tak de maknanya..

Comments are closed.