PETALING JAYA – Nampaknya warga asing yang datang ke negara ini untuk mata pencarian semakin terbabit dalam kegiatan haram.
Terbaharu, seorang wanita warga asing ditahan kerana disyaki mengepalai sindiket judi dalam talian secara bersembunyi di sebalik kedai makanan sebagai mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menyerbu premis terbabit di Sungai Way pukul 10.45 malam semalam.
“Hasil pemeriksaan polis, seramai14 individu berada di dalam premis dan siasatan lanjut terdapat dua lelaki warga tempatan berusia 45 dan 58 tahun dikesan sedang bermain permainan judi dalam talian jenis roulette dan dolphine reef.
“Hasil siastan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bermain judi online hampir tiga minggu lalu yang dikendalikan oleh seorang wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, berdasarkan maklumat pengakuan dua suspek tempatan itu, polis sekitar 11 malam pada hari yang sama telah menyerbu sebuah rumah di SS9A/2 Sungai Way.
Menurutnya, hasil sebuan seorang wanita warga asing berusia 30-an disyaki dalang sindiket judi online berkenaan berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbit suspek wanita itu juga mendapati satu aplikasi permainan jenis slot game di paparan skrin telefon miliknya disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Polis berjaya merampas telefon bimbit berkenaan dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil perjudian dalam talian daripada pelanggan.
“Suspek wanita turut mengaku menjalankan kegiatan berkenaan hampir sebulan menyasarkan penduduk setempat,” katanya.
Ketiga-tiga saspek direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi terbuka 1953 dan siasatan lanjut masih diteruskan ke atas wanita itu bagi melihat penglibatan kesmeua suspek itu dalam kes judi online.- MalaysiaGazette