KUALA LUMPUR – Kelakuan seorang lelaki yang ditahan polis kerana menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan membawa kepada pembongkaran sindiket curi motosikal yang aktif di ibu kota.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditangkap oleh anggota cawangan rondaan bermotosikal pukul jam 11.20 pagi hari ini.
“Saspek telah melarikan diri sebelum berjaya ditangkap anggota polis dan hasil pemeriksaaan pada badan, polis menemui satu tembaga buku lima berwarna perak yang disimpan dalam beg silangnya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal saspek juga mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan semakan nombor enjin juga ia mendapati motosikal itu pernah dilaporkan hilang di Salak Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zairulnizam, saspek mengakui buku lima itu adalah miliknya dan dibeli di Petaling Street.
Selain itu katanya, saspek turut mengaku terlibat dalam kes mencuri motosikal di Danau Kota, Setapak bersama seorang lagi rakannya.
“Ujian saringan awal urin ke atas suspek menunjukkan positif heroin dan semakan rekod jenayah mendapati suspek memiliki 19 rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kes jenayah dan dua rekod dikehendaki bersabit kes dadah dan jenayah khianat,” katanya.
Saspek akan direman untuk membantu siasatan dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 dan jika disabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membeli atau memiliki sebarang jenis senjata berbahaya kerana ia boleh disabitkan dengan kesalahan yang diperuntukkan oleh undang-undang,” tegasnya.-MalaysiaGazette