LONDON – Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez dilaporkan sudah memuktamadkan keputusannya untuk menyertai Manchester City.
Laporan di Chile berkata, Pep Guardiola menang dalam persaingan merebut khidmat penyerang antarabangsa Chile itu.
Pemain berusia 28 tahun itu enggan memulakan rundingan bersama the Gunners untuk memperbaharui kontrak untuk kekal di Emirates.
Kontrak semasa Sanchez akan berakhir musim depan dan Arsenal perlu menjual pemain itu.
Juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Chelsea dan kelab Bundesliga Jerman, Bayern MUnich juga menunjukkan minat terhadap pemain itu.
Tetapi, wartawan Chile Fernando Solabarrieta mendedahkan bahawa pemain itu hampir muktamad menyertai kelab ‘Noisy Neighbours’.
Sanchez kini bersama Chile untuk menghadapi saingan Piala Konfederasi.
Dalam aksi persahabatan pusingan kelayakan Piala Dunia Rusia 2018, Chile seri 1-1 bersama Rusia.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yang memperbaharui kontrak dua tahun bersama Arsenal bertegas tidak mahu menjual pemain terbaiknya.
Tetapi Wenger sanggup melepaskan pemain itu sekiranya tawaran lumayan hadir dari mana-mana kelab domestik atau Eropah.
Walaupun Arsenal gagal layak ke kempen Liga Juara-juara Eropah musim depan, Sanchez telah mengharungi kempen yang agak baik musim lalu.
Sanchez membantu Arsenal menjulang Piala FA .
Sanchez telah menjaringkan 30 gol dalam 51 penampilan bersama Arsenal pada musim ini.