PUTRAJAYA – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin hari ini menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa yang berlaku dalam Yayasan Negeri Sembilan.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakww dokumen dan maklumat yang diserahkan itu mengenai rasuah balak dan pasir.
Beliau mendakwa, kegiatan salah guna kuasa yang dilakukan oleh pengarah yayasan itu.
Pengarah itu didakwa dilantik oleh Menteri Besar yang juga adalah rakannya.
“Pemberian balak ini diberikan kepada yayasan untuk yayasan beri kepada sesiapa untuk konsesi balak supaya wang masuk ke dalam yayasan.
“Itu berlaku satu korupsi kerana yayasan tidak tender secara terbuka dan hanya beri kepada empat syarikat, yang mana nilai pasaran adalah RM15 juta.
“Kita buat kajian ada syarikat mampu untuk bagi RM15 juta dan masih untung besar tetapi empat syarikat yang dapat itu beri harga RM5 juta untuk kawasan balak tersebut iaitu beza RM10 juta,” katanya kepada media selepas menyerahkan dokumen di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham memberitahu, dokumen lain yang turut diserahkan adalah berkenaan kawasan pasir yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk turut dikendalikan Yayasan Negeri Sembilan.
Namun dakwa beliau, konsesi pasir itu tidak memberi keuntungan kerana berlakunya kecurian stok simpanan pasir yang sepatutnya dibersihkan dan terdapat perjanjian sampingan.
“Benda ini bukanlah rahsia kerana saya boleh sebut dan apabila benda ini terbongkar dan tidak bawa keuntungan, kerajaan negeri hentikan konsesi pasir ini dan berlaku saman tindakan undang-undang disertakan dengan perjanjian sampingan itu,” katanya.
Badrul Hisham turut meminta Menteri Besar tidak cuci tangan kerana mendakwa Pengarah Yayasan Negeri Sembilan selama ini telah menggunakan gelaran Datuk palsu dalam surat lantikan dan dokumen rasmi kerajaan negeri.
“Hari ini setelah sebulan, dua isu ini terbongkar, beliau tidak guna lagi gelaran Datuk itu dan jelas Menteri Besar sudah tahu benda ini kesalahan jenayah kerana menggunakan gelaran palsu boleh dipenjara dan didenda atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette