Home Nasional Ismail Sabri cadang pemberian elaun bulanan kepada penerima PJM

Ismail Sabri cadang pemberian elaun bulanan kepada penerima PJM

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyematkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada Azman Mahmud (kiri) pada Majlis Penganugerahan PJM di Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Kementerian Pertahanan bercadang menyediakan elaun bulanan untuk penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai jasa mereka dalam mempertahankan negara sewaktu darurat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan elaun bulanan RM300 atau RM350 akan dibentangkan ke Kabinet terlebih dahulu sebelum diputuskan.

“Sebelum ini mereka pernah mendapat one-off sebanyak RM500. Jadi, kita berniat dan bercadang untuk memberi sumbangan tetap kepada penerima PJM. Ini sebagai mengenang jasa mereka yang sangat besar dalam menentang komunis sewaktu darurat dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penganugerahan PJM Peringkat Negeri Sabah kepada 350 penerima di sini hari ini.

Ditanya sama ada cadangan ini dilihat sebagai gula-gula Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung 26 September ini, Ismail Sabri berkata, ia tiada kena mengena dan hanya satu kebetulan.

Jelasnya, cadangan elaun tersebut meliputi penghargaan kepada anggota veteran PJM yang berlangsung hari ini yang mana ia telah dilakukan di negeri-negeri lain sebelum ini dan Sabah merupakan lokasi terakhir.

“Ini kali kedua penganugerahan PJM dibuat yang mana kali pertama dibuat bulan lepas. Ia tiada kena mengena dengan PRN Sabah. Majlis hari ini memang sudah dijadualkan terlebih dahulu. Kalau tiada PRN pun kita tetap akan buat majlis ini,” katanya.-MalaysiaGazette