Home Pendapat PRN Sabah: Sabah kembali lokal

PRN Sabah: Sabah kembali lokal

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini boleh disimpul sebagai pilihan raya yang paling meriah dan ia bukanlah aneh seperti yang digambarkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang semalam.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 447 orang calon akan merebut 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Bagaimanapun calon-calon ini bukan sahaja bertanding atas tiket parti-parti nasional seperti UMNO, DAP dan PKR, sebaliknya kebanyakan mereka adalah calon parti tempatan.

Maka, PRN Sabah kali ini sememangnya berkonsep free for all dan bakal menjadi medan pertarungan sengit tiga fraksi politik iaitu PH-Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Barisan Nasional-Perikatan Nasional-Parti Bersatu Sabah (PBS).

Kempen Warisan kali ini berkisar antara budaya politik katak dan menyerang pihak pembangkang sebagai tamak.

Antara contoh yang digunakan oleh Warisan seperti mengembalikan semula gaya pentadbiran lama yang mementingkan amalan nepotisme, rasuah dan politik wang di peringkat negeri.

BN dan PN pula menggunakan tempoh kempen ini untuk membawa isu ketidakcekapan pentadbiran negeri, pengiktirafan tuntutan Sabah, pemerintahan Yang di-Pertua Sabah dan kurangnya penyelarasan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan

WARISAN

Masa PRU 14 dulu, kempen Ketua Menteri ‘Caretaker’, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan bertemakan membawa kemakmuran bersama kepada negeri Sabah yang kian lama dipinggirkan oleh BN dan juga isu rasuah 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Namun apa yang berlaku selepas Shafie berjaya menjadi Ketua Menteri adalah sebaliknya seperti yang kita maklum.

Daripada isu pengangguran yang semakin meningkat, hinggalah isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak lupa tentang pengiktirafan tuntutan Filipina ke atas Sabah, Warisan tidak mampu untuk menyelesaikan apa pun di dalam tempoh 26 bulan mereka berkuasa.

Di bawah Shafie, Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi ‘paling lembab’ dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mereka di paras paling rendah berbanding dengan negeri lain iaitu 0.5 peratus.

Ini sebenarnya berlainan sekali dengan visi Warisan yang membawa ‘kemudaratan’ bersama bukannya kemakmuran yang dijanjikan.

Warisan dan Shafie mempunyai sokongan kuat di pantai timur Sabah tetapi tidak lagi akan mendapat sokongan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta masyarakat bumiputera Islam di kawasan lain.

Terdesak dengan semua itu, Shafie telah menjelajah negeri itu sejak beberapa hari lalu untuk menyerahkan pemilihan hak tanah kepada penduduk walaupun dikritik oleh Pengerusi Bersih, Thomas Fann yang berkata sumber negeri tidak boleh digunakan untuk tujuan berkempen terutamanya setelah DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Shafie juga telah melemparkan tuduhan ke atas keluarga Tan SRI Musa Aman kononnya rakus merampas hasil bumi Sabah untuk kepentingan dan kekayaan ahli keluarga mereka baru-baru ini.

Tindakan Shafie ini tidak mencetuskan kontrovesi yang diharapkan sebaliknya bekas pemimpin UMNO itu teruk di kecam oleh rakyat Sabah kerana tidak membangkitkan perkara tersebut ketika berkuasa di dalam DUN.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga calon Warisan N.65 Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) , Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (tiga kanan), Pengerusi PKR Sabah yang juga calon PKR N.20 Api-Api, Datuk Christina Liew (tiga kiri) serta calon yang lain bergambar kenangan pada Majlis Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Hakka Hall, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

Sebagai parti pemerintah, Shafie patut tunjukkan prestasinya selaku Ketua Menteri dan pencapaian Warisan sebagai kerajaan, itu juga yang di ketengahkan oleh Musa Aman kelmarin.

Namun kecewa kerana kempen Shafie dan Warisan asyik tertumpu kepada serangan terhadap BN, UMNO, Musa Aman dan Anifah Aman sahaja sepanjang masa sekolah-olah kepentingan rakyat Sabah boleh ‘tunggu dulu’ sehingga dirinya menang.

Adakah naratif yang mirip kempen PRU 14 sebegini masih lagi relevan dalam paradigma politik Sabah hari akan kita ketahui pada 26 September ini nanti.

PCS

Kebangkitan PCS perlu diberi perhatian kerana parti tersebut bertanding di semua kerusi.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Anifah Aman beberapa kali mengulangi saranan hendak memberi peluang kepada anak muda dan bakat baharu bertanding.

Sebelum ini, Anifah sering dilihat sebagai ‘pemimpin Semenanjung’ kerana jawatannya di dalam Kabinet Persekutuan dan jarang terlibat dengan politik tempatan.

Hakikatnya, beliau giat memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah termasuk melindungi kedaulatan dan tampuk pemerintahan negeri.

Suaranya sering kedengaran lantang di Parlimen mahupun di platform antarabangsa.

Pada tahun 2008, Anifah menolak tawaran menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dalam barisan baru Kabinet yang dibentuk sebagai satu tanda protes senyap.

Ini kerana layanan anak tiri’yang diberikan kepada Sabah oleh Kerajaan Persekutuan walaupun daripada 140 kerusi BN di Parlimen, 51 dimenangi di Malaysia Timur.

Penduduk sedang melihat seorang penunggang motosikal melintasi deretan bendera Parti Cinta Sabah (PCS) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.

Bandingkannya dengan Shafie yang enggan mengulas lanjut selepas Kerajaan Pakatan Harapan yang menafikan hak Sabah dalam MA63 yang dijanjikan dalam manifesto.

Tema kempen PCS pula berkisar tentang isu-isu lokal sahaja malah jarang sekali calon-calon parti itu meberi kenyataan mengenai isu di luar Sabah.

Imej Anifah di pentas dunia akan membantu Sabah menghindari tuntutan Filipina dan pihak lain terhadap Sabah.

Anifah mampu untuk menguatkan sekuriti negeri Sabah melalui diplomasi iaitu sesuatu yang Shafie mahupun Tan Sri Musa Aman tidak mampu lakukan sebelum ini.

Sebagai parti lokal, PCS mampu mencipta kejutan pada pilihan raya ini tetapi yang pasti, modus operandi PCS dan kepimpinan Anifah sudah dirasai rakyat Sabah dalam kempen ini.

GRS (BN+PN+PBS+Pas)

Majoriti calon BN yang akan bertanding pada PRN Sabah adalah muka baharu dengan keputusan untuk mengetengahkan calon-calon ini membuktikan UMNO Sabah berani melakukan reformasi dan pembaharuan

Senarai calon BN kali ini lahir daripada kemelut dalaman kepimpinan UMNO negeri Sabah.

Insiden kritikan terhadap pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera pilihan raya BN dalam PRN yang didakwa tidak dibincang di peringkat negeri oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Rahman Dahlan adalah di antara simptom keretakan yang wujud dalam Umno Sabah.

Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai kitab Injil antara faktor Pas tidak diberikan laluan bertanding di Sabah.

Kenyataannya adalah satu isu sensitif kepada pengundi di Sabah yang sebahagian besarnya beragama Kristian.

Pada PRN ini, BN bukan sahaja perlu menang sebaliknya harus memperoleh lebih banyak kerusi berbanding rakannya dalam gabungan PN untuk menjamin jawatan Ketua Menteri miliknya.

Sememangnya adalah sukar untuk berperang dengan musuh sekiranya kesangsian wujud sesama ‘rakan seperjuangan’.

Hari ini, ada ruang besar untuk GRS dan UMNO memerintah setelah kegagalan Shafie dan Warisan mengurus Sabah.

GRS sepatutnya mudah menjadi kerajaan jika tidak berhadapan perebutan kuasa dan kerusi dengan Bersatu.

NARATIF PEMERHATI POLITIK

Senario mimpi buruk bagi Sabah akan berulang jika keputusan tidak konklusif seperti pada tahun 2018 berlaku lagi.

Seperti kata seorang mak cik yang ditemui ketika sesi kempen, pengundi jelas lebih berminat kepada faktor kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi bawahan.

Setelah kontroversi dua kali jatuhnya kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun ini, pengundi mungkin mencari alternatif seperti PCS kerana mereka tidak terlibat dalam isu pembelotan dari Warisan atau BN.

Faktor kestabilan politik pasca-PRN telah mengubah persepsi PCS sebagai dark horse sebelum ini kepada quiet favourite untuk menang PRN.   

PCS yang meraih hanya 1 peratus daripada jumlah undi keseluruhan pada PRU 14 muncul quiet favourite ketika ini selepas kepimpinannya diambil alih  Anifah.

Keputusan beliau untuk tidak bersepakat dengan mana-mana parti daripada Semananjung adalah satu master stroke walaupun kemenangan tidak dikecapi lagi.

Akhir sekali, tulisan ini adalah berdasarkan kepada pemerhatian dan tinjauan penulis yang berada di Sabah sejak sebulan yang lalu.

Ianya juga bukan satu representasi kebenaran dan ingin ditekan di sini bahawa penulis bukanlah Nostradomus yang dapat menilik dengan tepat, sebaliknya hanya inginkan yang terbaik untuk Sabah dan penduduk Sabah. – MalaysiaGazette