KUALA LUMPUR – Keadaan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam insiden keracunan karbon monoksida di dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir stesen minyak di Butterworth kini sedang dipantau dan diberi rawatan rapi.
Mangsa, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21,yang ketika ini menerima rawatan di Kebuk Mampatan Hiperbarik Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.
Sehubungan dengan itu, pemantauan dan rawatan rapi diberi ke atas pesakit dari semasa ke semasa.
Bahagian Hal Ehwal Awam J7 Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang ke HAT Tuanku Mizan pada hari sama kejadian untuk diberi rawatan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT).
“Pesakit tersebut masih dipantau dan diberi rawatan rapi dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan beliau yang belum menunjukkan perkembangan positif.
“ATM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan situasi terbaik buat mangsa
dan semoga keluarga beliau diberi semangat dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” sebut kenyataan itu.
Artikel berkaitan: Tiga maut, seorang lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida
Dalam kejadian Rabu lepas tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah.
Kejadian itu dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup. – MalaysiaGazette