KUALA LUMPUR – Pesta Kerjaya Mega 2020 akan diadakan selama dua hari pada 26 hingga 27 September ini di Pusat Pameran Mid Valley Kuala Lumpur bagi membantu orang ramai mencari pekerjaan terutama ketika berhadapan dengan pandemik.
Pameran kali ini meskipun lebih kecil daripada tahun-tahun sebelumnya tetap menampilkan 40 majikan dan universiti termasuk RHB Bank, Westports, Worldwide Holdings, Foodpanda, dan 99 Speedmart.
Penolong Pengurus Besar AIC Exhibitions, Tan Yong Keat berkata, Pesta Kerjaya Mega 2020 adalah satu-satunya pameran kerjaya secara fizikal yang diadakan tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19.
Disebabkan itu, beliau berharap, sambutan yang diterima adalah baik.
“Dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilanjutkan hingga akhir tahun dan moratorium bank berakhir bulan ini, orang ramai semakin terbeban.
“Syarikat-syarikat pula mengambil pendekatan tunggu dan lihat, malah ada yang memberhentikan pekerja.”
“Sebagai satu-satunya pameran kerjaya secara fizikal tahun ini, kami menjangkakan sambutan yang baik dari pencari kerja. Mereka yang berminat dinasihatkan untuk memperbaharui CV mereka dan membuat pra-pendaftaran di laman web www.careerfair.asia untuk mendapatkan slot kunjungan”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masuk adalah percuma, dengan pra-pendaftaran wajib. Lawati laman www.careerfair.asia untuk pendaftaran.
Sesuai dengan SOP PKPP, maksimum sebanyak 250 pengunjung akan dibenarkan masuk ke setiap dewan pada satu-satu masa. Pemeriksaan suhu akan dilakukan di pintu masuk.
Tambahnya, selain pameran kerjaya, beberapa universiti tempatan akan mengambil bahagian untuk menawarkan kursus peringkat pascasiswazah kepada pencari kerja yang ingin meningkatkan pengetahuan mereka sendiri.- MalaysiaGazette