Home PRN Sabah PRN Sabah: KKMM pantau penularan berita palsu

PRN Sabah: KKMM pantau penularan berita palsu

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersama Pengendali City Lounge, Kong Chung Vui melihat ruang rehat pada Majlis Perasmian Media Lounge sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di City Lounge, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang memantau penularan berita palsu dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya berperanan membetulkan sebarang penularan laporan yang tidak tepat di semua platform media sosial.

“Dalam suasana PRN ini amat penting kita memastikan maklumat-maklumat sahih disebarkan contohnya tarikh waktu pilihan raya, waktu pusat mengundi dibuka, apa-apa berita dilaporkan kita nak pastikan berita sahih,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Media Lounge di City Lounge hari ini.

Jelasnya, kaedah yang akan digunakan sama dengan Pasukan Respon Pantas (PRP) dalam tempoh penularan Covid-19 yang mana, fakta dan maklumat yang betul berkenaan pilihan raya negeri akan disebarkan dengan pantas.

Saifuddin memaklumkan, semenjak Hari Penamaan Calon seminggu yang lalu, masih belum ada berita palsu yang ditularkan.

“Setakat ini. Kita belum ada sampai perlu membuat pemakluman berita palsu mengenai PRN Sabah. Kita harap tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya lagi.

PRN Sabah akan berlangsung pada 26 September yang lalu, dan hari ini merupakan hari ke tujuh berkempen.

Sebanyak 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, pertambahan 13 kerusi.-MalaysiaGazette