SYEDNEY – Ketika pengembaraan udara masih lagi dihadkan berikutan penularan wabak Covid-19, syarikat penerbangan Qantas menawarkan penerbangan tanpa hala tuju selama tujuh jam.
Perkhidmatan tersebut menawarkan kepada mereka yang rindukan untuk terbang bagi menikmati pemandangan dari udara seperti Pelabuhan Sydney dan Terumbu Karang Besar, lapor arynews.
Dikenali sebagai ‘Great Southern Land Scenic’, penerbangan tersebut akan berlepas dan mendarat di Sydney.
Dalam tempoh 10 minit semua tiket habis ditempah, menurut syarikat penerbangan itu yang menunjukkan sambutan baik diterima terhadap penerbangan untuk bersiar-siar itu.
“Ia mungkin penerbangan yang paling laris dijual dalam sejarah Qantas,” kata Ketua pegawai Eksekutif syarikat penerbangan itu, Alan Joyce dalam satu kenyataan.
“Orang ramai jelas rindu untuk mengembara dan terbang. Jika terdapat permintaan, sudah pasti kami akan lakukan lebih banyak penerbangan ini ketika kita semua menanti sempadan dibuka,”.
Pesawat tersebut akan terbang rendah di beberapa tempat-tempat menarik pelancong seperti Uluru dan Pantai Bondi.
Pada penerbangan tersebut pesawat Boeing, B787 digunakan.
Harga tiket bagi penerbanhgan QF787 yang berlepas dari Terminal Domestik Sydney pada 10 Oktober dan mendarat tujuh jam bermula pada harga A$787 untuk kelas ekonomi hingga A$3,787 untuk kelas perniagaan. – MalaysiaGazette