Home Politik Warisan tak boleh urus Felda – Calon PN

Warisan tak boleh urus Felda – Calon PN

Calon Perikatan Nasional DUN Sebatik, Datuk Muis Picho beramah mesra bersama penduduk kampung ketika hadir ke program bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di kampung Felda Umas, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2020.

KALABAKAN – Pengundi-pengundi khususnya di Felda dinasihatkan memilih parti yang selari dengan Kerajaan Persekutuan agar memudahkan pentadbiran badan itu.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho berkata, pengurusan Felda adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan jika memilih Parti Warisan Sabah (Warisan), ia akan menyukarkan pengurusan Felda itu sendiri.

“Saya sudah yakinkan masyarakat disini supaya menyokong Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana pengurusan di Felda ini adalah di bawah Kerajaan Persekutuan. Kalau kita menyokong Warisan, macam mana nak ke Semenanjung untuk menguruskan masalah dalam Felda ini.

“Saya telah beri jaminan dalam kempen saya di Felda ini, jika menang saja di Sabah dan bentuk kerajaan baharu saya akan datang untuk bersama-sama kepimpinan yang ada di Felda Umas ini.

“Kita akan berbincang tentang masalah yang saya harus angkat kepada Kerajaan Persekutuan. Ini jaminan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan program ramah mesra di Felda Umas, Kalabakan, semalam.

Calon Perikatan Nasional DUN Sebatik, Datuk Muis Picho bercakap kepada media sebelum hadir ke program bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di kampung Felda Umas, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2020.

Ditanya sama beliau mampu untuk mempertahankan kerusi ini buat kali keempat, Abdul Muis berkata, rakyat di kawasan itu sudah bosan dengan janji-janji daripada Warisan.

“Penyokong saya menyakinkan saya bahawa boleh menang dan saya sendiri boleh rasa dalam perjalanan saya pagi tadi di Pulau Sebatik, sambutan yang cukup meyakinkan.

“Mereka juga menyatakan Kerajaan Warisan janji tidak serupa bikin. Asyik berkata nanti kerajaan negeri selesaikan,” katanya lagi.

Kerusi Dun Sebatik disandang Abdul Muis selama tiga penggal sejak 2008 yang ketika itu bertanding atas tiket UMNO sebelum berhijrah kepada Warisan selepas mempertahankan kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Pada PRN kali ini Abdul Muis bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Abdul Samat (PCS), Hassan A Gani Pg Amir (Warisan), Baharuddin Basrie (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Hassan Ibrahim (USNO) dan dua calon Bebas Juhuran Kalmin dan Mohd Balbir Arjan. – MalaysiaGazette