KUALA LUMPUR – Umat Islam diajak sentiasa berusaha mempertahankan ketinggian al-Quran dan ajaran-ajarannya dengan menolak segala bentuk penyelewengan dan percubaan yang mengaitkan Islam dengan keganasan dan ekstremisme.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, malangnya penghayatan terhadap kesucian dan keindahan hari-hari pada bulan Ramadan tahun ini sedikit diganggu oleh beberapa insiden pembunuhan dan keganasan yang pada zahirnya melibatkan orang Islam dan dibuat atas nama Islam.
“Hal ini tentunya sangat bertentangan dengan ajaran al-Quran yang berasaskan prinsip rahmat, kemanusiaan dan keadilan.
“Jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja, sudah tentu imej ajaran al-Quran yang murni ini akan terjejas dan diselaputi persepsi yang negatif,” katanya menerusi laman blog najibrazak.com sempena peristiwa Nuzul al-Quran 1438H yang akan disambut esok.
Melalui pelbagai dasar dan prinsip yang dipegang termasuk Indeks Syariah Malaysia dan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) serta pelbagai inisiatif merentasi bidang-bidang utama kehidupan, Najib berharap agar Islam tidak hanya disinonimkan dengan perkara yang negatif sahaja.
“Negara kita bukan sahaja mementingkan pembangunan material, sebaliknya pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan dan penentu sebenar di sebalik kemajuan ekonomi dan sosial yang zahir. Semua ini kita tekuni sebagai manifestasi penghayatan ajaran al-Quran yang menganjurkan kemakmuran bersepadu duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Najib berkata, Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang komited dan progresif, sentiasa berusaha untuk melunaskan pedoman Qurani supaya dapat dihayati oleh setiap umat Islam di negara ini kerana al-Quran akan menjadi pelindung diri bagi sesiapa saja yang membacanya, memahami serta mengamalkannya di dalam kehidupan seharian.
Mengambil contoh penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke-59 baru-baru ini, katanya, ia menjadi bukti kepada kematangan dan kemampuan Malaysia untuk menerapkan nilai-nilai qurani di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izinNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam bulan Ramadan Al-Mubarak. Seterusnya, tanggal 17 Ramadan pada setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut satu daripada peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan Ramadan iaitu peristiwa “Nuzul al Quran”.
Beliau turut memetik penurunan wahyu terakhir, iaitu Al-Quran Al-Karim yang merupakan bukti kasih sayang Allah SWT kepada makhluk ciptaanNya agar mereka mempunyai panduan dan neraca yang terbaik dalam mengatur kehidupan.
“Allah telah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud: (masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah… ” katanya memetik ayat suci itu.
Najib seterusnya mengajak umat islam menghiasi Ramadan kali ini dengan bertalaqqi, bertadarus, mentadabbur serta mengambil manfaat dan pedoman sebanyaknya dari Kalam Suci ini.
“Jadikanlah bulan yang penuh keberkatan ini sebagai bulan untuk kita memaknai hidup dengan Al-Quran.
“Akhir kata, semoga kita terus dikurniakan kesihatan dan taufiq untuk menghidupkan siang dan malam di bulan Ramadan yang berbaki untuk tahun ini serta mengulanginya dalam tahun-tahun yang mendatang.
“Saya mendoakan agar keberkatan Nuzul al-Quran ini juga akan menyatukan hati kita semua untuk menjadi ummah yang terbaik,” katanya.