SUDAH dua minggu, aku biarkan tulisan ini berlalu pergi. Merenung kembali satu rapat umum di Restoran Amjal, Kuala Lumpur sekitar awal September lalu bersama wakil Parti Anak Muda. Sebuah lokasi yang sentimental bagi bekas aktivis mahasiswa Universiti Malaya dan pemain politik Malaysia sejak sekian lama.
Kalau tanya otai-otai reformis, pasti mereka ingat.
Pertemuan itu menghimpunkan aktivis dan bekas aktivis mahasiswa, baik yang partisan juga non partisan. Saya juga dimaklumkan pertemuan ini merupakan satu medium untuk wakil ‘working committee’ Parti Anak Muda mendengar hasrat dan pandangan mahasiswa secara ‘bottom-up’.
Kehadiran diri ini adalah hanya untuk memerhati dan menimbang tara pilihan dalam diri. Entah betul atau tidak usaha mereka ini, sedangkan dalam hati terdapat sekelumit harapan bahawa mereka ini akan mengecapi kejayaan. Bukan menjadi boneka kepada politikus yang hanya tahu memikirkan survival politiknya sahaja. Ini juga satu kesangsian yang wajar untuk kita semua fikirkan.
Hati manusia, siapa yang tahu? Hanya tuhan yang tahu. Siapa kita mahu menghakiminya?
Kehangatan semasa dialog dua hala hari itu juga bagi aku tidak menyelesaikan masalah. Soalannya berulang dan pasti jawapannya juga berulang.
Cuma apa yang boleh dipuji dengan gerakan anak muda ini, mereka berani berkonfrontasi di depan kita semua. Iya, di depan kita semua. Semoga segala pandangan dan kritikan yang diberikan kawan-kawan aktivis tempoh hari diambil serius untuk memperbaiki masa hadapan.
Di akhir sesi, saya berfikir panjang ketika memandu kereta. Masih memikirkan nasib dan hala tuju parti ini hingga saat ini. Masih lagi mencari jawapan.
Pengumuman Syed Saddiq menubuhkan parti
Desas desus yang mengatakan bahawa Parti Anak Muda ini akan ditubuhkan telah pun dijawab beberapa hari yang lalu. Syed Saddiq bersama rakan-rakannya telah menghantar surat kepada ROS untuk menubuhkan parti.
Ciapan di Twitter semakin hangat dan lambakan tweet bertandapagarkan #MUDA dan
#MUDAsudahMULA
Tiada apa apa pun yang harus kita takutkan, tetapi dengan tertubuhnya parti ini mengajar kita banyak perkara. Tidak dinafikan, penubuhan parti ini juga haruslah disajikan dengan kritikan yang konstruktif agar terus sentiasa terpandu jalannya.
Saya melihat dari satu perspektif bahawa usaha ini merupakan “wake up call” yang signifikan dalam memberi ruang kepada anak muda untuk memimpin, lebih bersuara, dan membudayakan budaya yang baharu.
Namun saya fikir usaha ini masih terlalu idealistik sekiranya ia menjadi sebuah parti berbanding hanya satu gerakan untuk dibuat pada masa sekarang, tetapi sudahnya bila lagi? Ini juga persoalan yang perlu dijawab.
Soalnya sejauh mana parti ini menjadi garapan anak muda di Malaysia, khususnya buat pengundi-pengundi baru?
Apa fokus parti anak muda ini di pilihan raya yang akan datang? Parti ini sukar untuk membentuk kerajaan dan pasti memerlukan rakan koalisi.
Jadinya siapa pilihan mereka? Kalau bersendirian di kawasan Parlimen, barangkali akan bersaing melawan PKR kerana “specs” partinya sama. Parti yang ramai pemimpin muda dan multi-bangsa.Tetapi bagaimana dengan kawasan Parlimen yang lain? Pengundi luar bandar dan pinggir bandar, apa formulanya? Sabah dan Sarawak, apatah lagi.
Soalan yang paling penting; sewaktu PRU15 nanti, adakah parti ini akan kekal bersendirian atau perlu bernegosiasi dengan rakan koalisi sama ada dengan PH atau PN?
Soal rakan koalisi, barangkali ia merupakan perbahasan yang panjang lebar. Wajar untuk diambil berat dan cakna.
Soalan yang dibiarkan di awangan
Siapa muka depan parti yang akan mengemudi gerakan penuh bersejarah ini?
Apakah nilai teras yang parti ini akan jual kepada kita semua? Kalau sekadar mengatakan ‘multiracial party’, apa bezanya dengan PKR?
Apakah perancangan parti ini dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang?
Bagaimana parti ini menggerakkan akar umbinya turun di kawasan-kawasan luar bandar yang sukar untuk kita akses? Kecuali kalau berlaku isu yang viral, baru tahu untuk turun ke kawasan.
Adakah parti ini akan menubuhkan sayapnya di setiap negeri? Bagaimana strukturnya?
Jike PRN seterusnya (PRN Johor) berlaku, apakah parti ini akan membuat kemunculan pertamanya?
Kita harus renungkan persoalan yang dibangkitkan dengan penuh mendalam, sebagai satu medium untuk kita berpijak di bumi yang rata. Mungkin, banyak lagi soalan yang akan kita hadapi selepas ini.
Saya fikir soalan-soalan ini wajar untuk kita bincangkan secara kritikal dan akademik, baik di dalam parti atau di luar parti. Demi kesejahteraan idea yang baru dan pengembangan minda kita semua.
Pesan terakhir, kita harus hidupkan wacana di dalam setiap peringkat umur untuk meneraju arus politik baharu. Baik dalam soal ekonomi, sosial dan sebagainya.
Saya tegaskan bahawa saya lebih cenderung meletakkan sejumlah kuota sebagai contoh menuju PRU15 nanti, 60% calon yang bertanding mestilah anak muda dari setiap parti.
Juga menghapuskan sistem sayap pemuda dan sayap wanita untuk memastikan persaingan sihat dalam setiap parti dalam apa jua posisi semasa pemilihan parti.
Melihat kepada perspektif yang lain, kita seharusnya terus melontarkan kritikan melalui tulisan dan wacana seumpama ini dan menggiatkan usaha penyelidikan mengenai memperkasa polisi anak muda di Malaysia dan sekitarnya.
Salam hormat, teruskan perjuangan #MUDA
Luthfi Yusri merupakan mantan Pengerusi Persatuan Belia Harmoni Universiti Malaya.
Parti untuk orang muda saja..pemimpin org muda, ahli orang muda, visi pun untuk orang muda. Tapi mak bapak ko nak letak kat mana? Orang tua jd ahli bersekutu saja kah?? Dan yg paling menarik, selepas usia muda..hendak ke mana???