Home Nasional Bomba cari petunjuk baharu jejak Acap

Bomba cari petunjuk baharu jejak Acap

Mohammad Ashraf Hassan (baju hijau). foto Bernama

GOPENG – Seramai 150 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) hari ini mencari petunjuk baharu bagi menjejak Mohammad Ashraf Hassan, 30, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) di sini, tahun lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Mohamad Yunus Abu berkata, pencarian sejauh 25 kilometer mengikut laluan GUT19 itu dilakukan bersempena Latihan Pengoperasian STORM 2020 Peringkat Zon Utara Khas di Gua Tempurung.

Beliau berkata, latihan dijalankan selama empat hari mulai semalam, disertai 150 pegawai dan anggota JPBM dari Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Perlis melibatkan tiga fasa iaitu jalan lasak, penyelamatan dalam gua dan penyelamatan air.

“Melalui latihan ini kita harap dapat petunjuk baharu. Sekiranya ada petunjuk tertimbus di bawah tanah diharapkan dengan faktor cuaca seperti hujan mungkin dapat petunjuk baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Gua Tempurung di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Yunus berkata melalui pencarian itu, pihak bomba juga berharap dapat mengurangkan keresahan ditanggung keluarga Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap yang hilang sejak Mac 2019.

Pada 17 April 2019, polis mengumumkan operasi mencari Acap ditangguhkan sementara selepas pencarian selama 24 hari tidak menemukan petunjuk baharu.

Mengenai latihan pengoperasian itu, Mohamad Yunus berkata, latihan tersebut bertujuan menguji kemampuan logistik, teknikal dan komunikasi yang turut melibatkan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor sebagai penjejak.

“Latihan ini sebagai persediaan pasukan bomba terhadap sebarang kemungkinan bencana pada hujung tahun, termasuk ketika musim hujan dan kejadian tanah runtuh agar dapat memperkemaskan koordinasi nanti,” katanya.

Selain itu, Mohamad Yunus turut menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti lasak seperti mendaki atau rentas hutan, agar mendapatkan nasihat pihak berkuasa terlebih dahulu, berikutan cuaca tidak menentu ketika ini. – MalaysiaGazette