PARIS – Amerika Syarikat (AS) tidak ada kuasa untuk menuntut pelaksanaan semula sekatan terhadap Iran selepas menarik semula Perjanjian Nuklear 2015 dua tahun lalu, kata Kementerian Luar Perancis dalam kenyataan bersama dengan Jerman dan United Kingdom.
“Kami telah bekerja tanpa lelah untuk mempertahankan perjanjian nuklear dan tetap komited untuk melakukannya,” kata menteri luar ketiga-tiga negara itu.
Sejak menarik semula perjanjian tersebut pada Mei 2018, pentadbiran Donald Trump telah memperhebatkan usaha untuk menekan Iran dengan meningkatkan sekatan.
Usaha AS itu telah menyatukan United Kingdom, Perancis dan Jerman dengan Rusia dan China yang berusaha menyelamatkan perjanjian tersebut.
Kerjasama itu menjadikan AS terpencil di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila kebanyakan negara mendakwa AS tidak mempunyai kuasa mengembalikan sekatan antarabangsa kerana ia bukan lagi pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut.
AS berkata resolusi Majlis Keselamatan lebih luas yang termaktub dalam perjanjian itu tidak memerlukannya untuk terus berada dalam perjanjian, dan semua resolusi PBB mengenai Iran yang ada sebelum perjanjian itu – dari larangan perjanjian senjata hingga sekatan ke atas aktiviti peluru berpandu balistik Iran dan pengayaan nuklearnya – sepatutnya berkuatkuasa semula pada hari Sabtu.
Negara itu menjangka semua ahli-ahli PBB mematuhi semua tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan sekatan ke atas Iran, kata Setiausaha Negara AS dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette