KOTA KINABALU – Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman hairan bagaimana seseorang yang berstatus Ketua Menteri boleh menggalakkan pesakit Covid-19 keluar mengundi.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini mengeluarkan kenyataan adalah lebih baik untuk di sediakan satu barisan khas dengan garis panduan (SOP) sesuai bagi memberikan laluan kepada pesakit di sahkan positif virus ini melaksanakan tanggungjawab mereka.
Kata Anifah, ada kemungkinan Shafie tidak begitu faham pandemik itu, oleh sebab itu, padanya undi rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini jauh lebih penting jika hendak dibandingkan dengan Covid-19.
“Saya sejujurnya hairan, terkejut malah cukup risau bagaimana Ketua Menteri Caretaker boleh mengeluarkan kenyataan mahu membenarkan pesakit positif Covid-19 untuk bersama-sama orang ramai keluar mengundi.
“Saya hendak tanya apakah Shafie faham atau tidak, maksud pandemik yang melanda dunia ini apabila dia cadangkan supaya pesakit Covid-19 juga boleh keluar mengundi?
“SOP yang telah ditetapkan untuk Covid-19 bertujuan untuk mengasingkan sebaik boleh pesakit ini daripada orang ramai kerana daya penularan begitu tinggi. Persoalannya, adakah dia sanggup menggadai kesihatan ramai demi meraih undi?
“Apakah anda begitu terdesak dan buta hati sehingga memberi risiko kepada rakyat kita ,” soalnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Akhbar Daily Express melaporkan Shafie mahu pesakit Covid-19 diberi peluang melaksanakan hak mereka sebagai warganegara Malaysia pada PRN ini.
“Kita sentiasa boleh sediakan prosedur operasi standard (SOP) kepada orang-orang ini yang didapati positif dan patut ada satu barisan untuk mereka. Kita tidak boleh halang mereka tunaikan hak mereka,” kata Shafie.
Mengulas mengenai kenyataan Shafie, Anifah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya jangan sesekali tunduk kepada permintaan yang tidak masuk akal seperti ini.
“Ya, mengundi adalah hak dan tanggungjawab semua dan kita seharusnya memudahkan urusan semua yang layak.
“Pada pandangan saya, sebaiknya KKM dan SPR membenarkan undi pos bagi pesakit Covid- 19 yang sedang dikuarantinkan.
“Dengan cara sebegini mereka tidak perlu keluar dari hospital atau tempat kuarantin, juga tidak akan mengganggu rawatan mereka.
“Paling penting mereka tidak akan didedahkan dengan risiko menjangkiti orang lain tetapi pada masa sama masih boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” ujarnya.
Tambah Anifah yang juga bekas Menteri Luar, sepatutnya semua memainkan peranan untuk mengurangkan risiko wabak pandemik yang sudah dikenalpasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai amat berbahaya.
“Saya harap tiada antara kita memandang remeh atau mengabaikan perkara ini semata-mata untuk agenda tersendiri. Nyawa adalah jauh lebih penting daripada apa-apa,” tegasnya. -MalaysiaGazette