LONDON – United Kingdom berkemungkinan melaksanakan sekatan pergerakan semula sekiranya rakyatnya enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menteri Kesihatannya, Matt Hancock berkata, negara itu telah menyaksikan lonjakan kes jangkitan koronavirus yang ketara sejak beberapa minggu.
Sebanyak 3,899 kes dilaporkan pada hari Ahad.
Datuk Bandar London juga menuntut tindakan pantas mencegah penyebaran Covid-19 di ibu kota itu yang semakin buruk.
Perdana Menteri Boris Johnson menyifatkannya sebagai gelombang kedua dan langkah-langkah penutupan yang lebih ketat telah diperkenalkan di kawasan-kawasan di seluruh negara, dengan lebih banyak kawasan dijangkakan.
“Negara menghadapi peningkatan kes dan kami punya pilihan. Pilihannya adalah semua orang mengikuti peraturan … atau kita harus mengambil lebih banyak langkah,” kata Hancock kepada Sky News. ”
Hancock memberitahu bahawa sekatan pergerakan nasional adalah antara pilihan yang mungkin dilakukan.
“Saya tidak menolaknya dan saya juga tidak mahu melihatnya,” kata beliau.
Johnson mengumumkan denda hingga 10,000 pound kepada mana-mana individu di England yang melanggar peraturan baharu yang menghendaki mereka mengasingkan diri jika ada kontak dengan individu yang dijangkiti Covid-19.
Beberapa bandar dan wilayah di Britain telah dikenakan ‘sekatan pergerakan tempatan’, dalam mengekang perhimpunan dan acara sosial. – MalaysiaGazette