Home Pendapat Amalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 menjelang PRN Sabah

Amalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 menjelang PRN Sabah

Seorang penunggang basikal melintasi deretan bendera ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Labut, Tenom, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

DI saat peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang membimbangkan di beberapa buah negeri termasuk negeri Sabah, penduduk di Sabah akan menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan berlangsung pada 26 September 2020 ini. Seperti pilihan raya sebelum ini, setiap parti politik dan penyokong-penyokong calon akan berkempen untuk memberi kemenangan kepada calon mereka. Dalam setiap
kempen sehinggalah hari pengundian, perhimpunan anggota masyarakat dalam jumlah yang kecil atau besar tidak dapat dielakkan.

Justeru, kami sarankan beberapa langkah yang boleh diambil oleh mereka yang terlibat dalam kempen pilihan raya dan membuang undi bagi mencegah penularan Covid-19.

Cadangan pencegahan sewaktu berkempen pilihan raya Dewan
Undangan Negeri:
 Mematuhi garispanduan perhimpunan sewaktu berkempen dan
mengekalkan penjarakan fizikal
 Menggunakan pelitup muka sepanjang masa sewaktu berkempen
 Mencuci tangan dengan menggunakan sabun ataupun menggunakan hand sanitizer. Dicadangkan supaya individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang berkempen membawa hand sanitizer mereka sendiri dengan kerap
 Tidak bersalaman, berpelukan atau bersentuhan dengan orang lain
 Berkumur dengan cecair kumur antiseptik yang mengandungi
sekurang-kurangnya 0.2% povidone ataupun 1% hidrogen peroksida, sebelum berjumpa dengan orang ramai dan sebaik sahaja pulang ke tempat penginapan

Cadangan pencegahan sewaktu membuang undi di pusat-pusat
pengundian pilihanraya Dewan Undangan Negeri:
 Sentiasa mematuhi arahan dan garispanduan yang dikeluarkan, mengamalkan penjarakan fizikal termasuk beratur dengan jarak lebih dari 1 meter semasa proses pembuangan undi. Petugas-petugas pilihanraya hendaklah memastikan agar pengundi mematuhi penjarakan fizikal bagi mencegah penularan wabak Covid-19
 Menggunakan pelitup muka sepanjang masa sepanjang proses
pengundian. Sekiranya anda menaiki kenderaan secara berkongsi
dengan pengundi-pengundi lain, pakai pelitup muka sepanjang
perjalanan pergi dan pulang mengundi
 Dicadangkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya supaya dapat menyediakan hand sanitizer di pusat-pusat pengundian termasuk di saluran-saluran pengundian. Peringatan secara berkala melaui sistem siaraya dan juga poster-poster tentang amalan membersihkan tangan dengan kerap ini hendaklah dilakukan supaya pengundi dapat mengamalkannya
 Bersihkan tangan anda dengan kerap dengan cara yang betul. Anda juga disarankan untuk menggunakan hand sanitizer sebelum menggunakan alat tulis yang disediakan untuk memangkah di kertas undi dan menggunakan sekali lagi hand sanitizer selepas menggunakan alat tulis yang disediakan
 Elakkan menyentuh permukaan seperti dinding, meja tulis, pemegang pintu dan lain-lain permukaan sekiranya tiada keperluan. Jika anda telah menyentuh permukaan ini, gunakan hand sanitizer untuk membersihkan tangan anda
 Tidak bersalaman dengan pengundi lain ataupun calon pilihanraya

 Terus pulang ke rumah setelah menjalankan tanggungjawab anda untuk mengundi. Apabila sampai di rumah, bersihkan badan dengan mandi menggunakan sabun dan berkumur-kumur menggunakan cecair berkumur yang mengandungi 0.2% povidone atau 1% hydrogen peroksida.

Cadangan pencegahan setelah keputusan pilihanraya diumumkan
 Elakkan meraikan kemenangan calon dengan melakukan perhimpunan besar-besaran. Ikut garis panduan pencegahan yang disediakan
 Tidak berpelukan dan bersalaman sesama penyokong parti ataupun calon yang menang

Elakkan menyertai kempen pilihanraya, membuang undi dan meraikan kemenangan sekiranya anda bergejala (demam, batuk, selesema) atau terdiri daripada golongan berisiko tinggi (kencing manis, penyakit paru-paru kronik, warga emas). Tidak perlu membawa anak-anak ke tempat berkempen dan
mengundi. Langkah-langkah pencegahan perlu diamalkan setiap masa, walaupun belum ada kes dilaporkan di kawasan anda.
Lalui proses pilihanraya kali ini dengan norma baharu. Perlu diingat bahawa kesihatan lebih penting daripada berpolitik. Fikirkan keselamatan diri anda dan keluarga sebelum memikirkan tentang orang lain. Kita masih belum menang.

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Kesihatan Awam) & Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal), Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia