KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Mohamaddin Ketapi yang menghina anggota keselamatan dalam insiden Lahad Datu mungkin pendirian keseluruhan pimpinan Parti Warisan di Sabah.
Ia dapat ditelah sekiranya ia tidak dinafikannya oleh mana-mana pemimpin parti itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini mengakui melihat dan meneliti video ceramah Muhamaddin dan mendapati calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu telah menolak mentah-mentah soal kebenaran.
Sambil menyifatkan ia sebagai satu penghinaan, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat Sabah khususnya para anggota keselamatan supaya tidak memberi undi kepada kesemua calon parti Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Menuduh dengan sewenangnya bahawa peristiwa pencerobohan di Tanduo pada tahun 2013 adalah ‘sandiwara’ merupakan penghinaan nyata beliau kepada seluruh rakyat Sabah khususnya anggota-anggota keselamatan yang terdiri dari pelbagai agensi,” katanya.
Ismail Sabri menegaskan dalam peristiwa itu seramai 10 orang anggota keselamatan terkorban tetapi Mohammaddin tanpa sensitif menyatakan perwira itu merupakan korban kerana perencanaan politik.
JusteruĀ beliau mengajak seluruh rakyat Sabah dan terutamanya anggota-anggota keselamatan ATM,PDRM,APMM dan ESSCOM untuk menolak politik penghinaan ini untuk tidak sesekali menyokong atau memberikan undi kepada mana-mana calon dari parti Warisan dan sekutu mereka.- MalaysiaGazette