KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) dan Biro Aduan Pekerja Syarikat Penerbangan (BATW) masih menunggu penjelasan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) berhubung pengurangan tenaga kerja dalam pesawat.
Dalam kenyataan di sini, NUFAM dan BATW mendakwa, setiap pesawat tenaga pekerja telah dikurangkan kepada satu hingga dua anak kapal dan langkah itu telah menjejaskan prestasi pekerja dan juga keselamatan dalam pesawat.
“NUFAM dan BATW telah menerima banyak aduan mengenai isu tekanan di tempat kerja yang mana pihak syarikat masih tidak membuat apa apa untuk menanganinya.
“Apabila Malaysia Airlines mengurangkan tenaga kerja, anak kapal terpaksa memikul tugas lebih berat. Anak kapal yang bertugas ke luar negara pula tidak mendapat rehat secukupnya,” kata NUFAM dan BATW.
Pihak kesatuan itu juga mempersoalkan apabila ada anak-anak kapal mendakwa sukar mendapat cuti perayaan sejak beberapa tahun dengan alasan tenaga kerja Malaysia Airlines tidak mencukupi.
Ternyata tindakan mengurangkan jumlah anak kapal oleh Malaysia Airlines menjadi masalah besar.
Jumlah anak kapal telah dikurangkan daripada 3,900 kepada 2500 sejak 2015 dan tenaga pekerja sedia ada hari ini masih tidak mencukupi.
NUFAM dan BATW telah memanjangkan isu ini kepada pihak Jabatan Tenaga Pekerja dan Kementerian Sumber Manusia supaya penjelasan dibuat oleh Malaysia Airlines.
“Satu surat yang bertarikh 6 Jun 2017 telah dihantar dan kami masih menunggu jawapan mereka,” kata NUFAM dan BATW.
Isu pengurangan tenaga kerja anak kapal juga telah mendapat perhatian Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye baru baru ini, yang mahu Malaysia Airlines meneliti semula proses pengurangan tenaga kerja dalam pesawat mereka. – MalaysiaGazette