Home Nasional Ahmad Zahid jalani ujian COVID-19, bicara esok tangguh

Ahmad Zahid jalani ujian COVID-19, bicara esok tangguh

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya pada petang ini dan esok susulan ujian saringan COVID-19 yang dijalani bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan itu di Hospital KPJ Tawakal di sini pada tengah hari tadi.

“Keputusan bagi ujian saringan pertama ialah negatif, bagaimanapun keputusan bagi ujian saringan kedua hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam iaitu pada petang esok.

“Jadi kami memohon perbicaraan yang berlangsung pada petang ini dan esok dilapangkan dan bersambung semula pada Isnin depan (28 Sept),” katanya semasa prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihaknya memahami keadaan tersebut dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.

“Namun, pihak pembelaan harus memaklumkan kepada mahkamah selepas menerima keputusan saringan kedua itu dengan kadar segera,” katanya.

Hakim Sequerah membenarkan permohonan penangguhan itu dan menetapkan 28 Sept untuk perbicaraan bersambung.

Berdasarkan akaun media sosial rasmi milik presiden UMNO itu, beliau berada di Sabah sejak minggu lepas bagi kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan tiba di sini semalam.

Pada prosiding pagi tadi,  bekas setiausaha eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly memberitahu mahkamah bahawa beliau terlebih membayar kad kredit Ahmad Zahid daripada jumlah yang sepatutnya dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi.

Mazlina, 42, berkata sejak beliau mengambil alih tugas sebagai setiausaha eksekutif daripada Datuk Rosiah Osman pada 2011, semua buku cek Yayasan Akalbudi dan cek peribadi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berada dalam simpanannya.

“Semua buku cek itu disimpan di dalam laci berkunci di pejabat saya, tetapi apabila berlakunya peralihan kerajaan pada Mei 2018, saya tidak ingat dan tidak merekodkan serta tidak membuat catatan siapa yang memegang ‘cheque butt’ (keratan cek),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, pada hari ke-41 perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zaidi: Mengapa Puan Mazlina guna tiga cek untuk bayar satu penyata kad kredit?

Mazlina: Bank tidak ada komplen (masalah)  mengenai perkara itu.

Saksi pendakwaan ke-90 itu bersetuju dengan peguam bahawa setiap satu buku cek mengandungi 100 keping cek.

Ahmad Zaidi: Puan Mazlina ada simpan rekod atau buat nota bayaran yang menggunakan cek (Yayasan Akalbudi dan peribadi Ahmad Zahid) untuk bayar apa?

Mazlina: Tiada Yang Arif.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

— BERNAMA