KUALA LUMPUR – Semua penerbangan termasuk penerbangan persendirian yang berlepas semalam mendarat dengan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang kemalangan melalui pengaktifan sistem pemancar pencari kecemasan (ELT).
“ELT adalah alat yang menyiarkan isyarat khas pada frekuensi yang ditentukan dan, bergantung pada aplikasi, dapat diaktifkan secara automatik oleh impak atau diaktifkan secara manual,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan beberapa agensi media tempatan kononnya ada pesawat terhempas berhampiran Tanjung Bungah, Georgetown, Pulau Pinang.
Semalam, media melaporkan sebuah pesawat ringan dikhuatiri terjunam sebelum terhempas dalam laut berhampiran perairan Tanjung Bunga, Georgetown.
Pesawat terbabit dipercayai berlegar di udara kawasan itu kira-kira pukul 2 petang sebelum dipercayai terhempas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada saksi memaklumkan bahawa dia bersama rakannya ternampak pesawat ringan itu terhempas ke dalam laut.
Katanya, mereka mendakwa melihat pesawat itu terhempas kira-kira jam 2 petang sebelum bertindak melapor kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu Voo berkata, CAAM akan terus memantau keadaan dan sekiranya ada pembaharuan mengenai hal tersebut semua agensi yang terlibat akan dimaklumkan sewajarnya. – MalaysiaGazette