WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan baharu ke atas Kementerian Pertahanan Iran dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam program senjata nuklear.
Tindakan itu dilakukan selepas usaha AS untuk mengekalkan sekatan ke atas Iran ditolak oleh Eropah serta Rusia dan China.
Bagaimanapun Iran menyifatkan sekatan AS yang baharu ini, yang mensasarkan 27 entiti dan warga Iran di sektor senjata nuklear, peluru berpandu dan konvensional, tidak akan memberi kesan.
Sebaliknya, Tehran mendakwa AS mencari publisiti.
Sekatan terkini bagi pengeksportan minyak negara itu termasuk dalam perintah eksekutif yang baharu ditandatangani oleh Presiden Donald Trump, mensasarkan pembeli atau penjual senjata konvensional Iran.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memberitahu wartawan, Washington telah melaksanakan sekatan baharu terhadap Presiden Venezuela Nicolas Maduro di bawah perintah itu, dengan menuduh Iran dan Venezuela telah bekerjasama “untuk mencabul sekatan senjata PBB” selama hampir dua tahun.
Dengan perintah yang sama, AS juga mengenakan sekatan ke atas Kementerian Pertahanan dan Logistik Angkatan Bersenjata Iran, serta Organisasi Industri Pertahanan dan pengarahnya, Mehrdad Akhlaghi-Ketabchi.
Perintah tersebut turut mensasarkan pegawai-pegawai dalam Pertubuhan Tenaga Atom Iran serta individu-individu yang berkaitan dengan organisasi peluru berpandu balistik, Shahid Hemmat Industrial Group.
AS terdorong untuk melaksanakan tindakan itu berakhirnya sekatan ke atas senjata Iran oleh PBB.
Malah, tindakan AS ini sebagai memberi amaran kepada negara-negara lain bahawa mereka akan menghadapi sekatan Washington jika membeli atau menjual senjata kepada Iran.
Entiti-entiti di AS sudah dilarang sama sekali melakukan urus niaga perdagangan tersebut.
Di bawah Perjanjian Nuklear 2015, bersama dengan enam kuasa besar – Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat – sekatan ke atas senjata konvensional PBB akan berakhir pada 18 Oktober ini – tidak lama sebelum pilihan raya AS pada 3 November ini.
“Tidak kira siapa anda, jika anda melanggar sekatan senjata PBB ke atas Iran, anda menghadapi risiko sekatan,” kata Pompeo pada sidang media bersama Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, Setiausaha Pertahanan Mark Esper dan Robert O’Brien, Penasihat Keselamatan AS. – MalaysiaGazette