KUALA LUMPUR – Vaksin Covid-19 apabila ditemukan, mesti boleh diakses oleh semua negara dan orang ramai, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika menyampaikan pendirian rasmi Malaysia di mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bersempena ulang tahun ke-75 UNGA, beliau berkata dalam aspek itu tidak sepatutnya ada sebarang bentuk diskriminasi.
“Kita perlu ingat oleh kerana Covid-19 tidak mendiskriminasi, respons kita juga sepatutnya begitu,” katanya.
Beliau berkata, ia juga memberikan impak yang sama besar terhadap sosio-ekonomi.
Ini merupakan penampilan sulung Muhyiddin pada UNGA selepas menjadi Perdana Menteri pada Mac tahun ini. Mesyuarat ini dilaksanakan secara maya disebabkan pandemik Covid-19, dan perdana menteri menyampaikan ucapan dari pejabatnya di Putrajaya. – MalaysiaGazette