TAWAU – Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas mengesahkan pihaknya menerima tiga laporan polis mengenai kenyataan bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Mohamaddin Ketapi.
Menurut Peter, ia diterima daripada beberapa individu tertentu yang membuat laporan itu sejak semalam.
“Di Tawau berkaitan isu itu kita menerima tiga laporan polis. Ia tentang video yang diviralkan berkaitan calon tersebut. Siasatan akan dijalankan oleh IPD Lahad Datu memandangkan kejadian di sana dan laporan pertama dibuat di sana,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Peter berkata demikian setelah meninjau perkembangan semasa proses pengundian awal kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Dearah Polis (IPD) Tawau hari ini.
Sejumlah 655 anggota polis pelbagai pangkat membuang undi mereka disini.
Semalam, UMNO Bahagian Kalabakan membuat laporan polis berhubung kenyataan Mohamaddin mendakwa insiden di Kampung Tanduo hanyalah sandiwara dan peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.
Ketuanya, Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
Sebelum ini, satu klip video memaparkan ucapan Mohamaddin yang mengeluarkan kata-kata tidak wajar berkaitan insiden pencerobohan di Tanduo dalam satu majlis kempen Warisan di Kampung Wawasan 1 dan Kampung Damai, dekat Segama Lahad Datu.
Sehari selepas itu, Mohamaddin tampil membuat permohonan maaf. – MalaysiaGazette
Tamatkan perjalanan karier politiknya..
Biar dia berbicara sama undangĀ² ..
PRN SABAH – 0 VOTE FOR WARISAN