Home Politik Buang pemimpin hina pasukan keselamatan – Roslan

Buang pemimpin hina pasukan keselamatan – Roslan

Roslan Shahir Mohd Shahir

KUALA LUMPUR – Seramai 16,877 pengundi berdaftar terlibat dengan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pagi ini.

Dari jumlah itu, seramai 7,847 adalah warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga masing-masing manakala 9,330 anggota lagi anggota polis serta keluarga yang akan mengundi di 55 Pusat Mengundi bermula jam 8 pagi.

Menurut Setiausaha Agung Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, mereka semua adalah wira dan pahlawan Malaysia yang banyak jasanya dalam mempertahankan kedaulatan negara serta memelihara keamanan.

“Kami rakyat Malaysia beri tabik hormat pada tuan-tuan,” katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor berkata, rakyat Malaysia yang waras dan bijak termasuk di Sabah menyanjung dan menghargai peranan pasukan keselamatan.

Beliau berharap, polis dan anggota tentera keluar menunaikan tanggungjawab mengundi memilih pemimpin sebagaimana gagahnya mereka melaksanakan tugas masing-masing.

“Bersamalah kita bertanggungjawab membina negara yang berdaulat, aman dan sejahtera yang menjunjung Perlembagaan Negara dan berpegang teguh pada Rukun Negara.

“Marilah kita memilih pemimpin berakhlak dan berwibawa. Yang mampu mempertahankan maruah negara dan membela nasib anak bangsa termasuk nasib dan masa depan tuan-tuan sekeluarga.

“Jangan sekali-kali mengundi mereka yang cauvinis, pandang hina dan mencerca kedaulatan dan keamanan negara yang telah kita bina dengan darah dan air mata. Mereka itu adalah pengkhianat,” katanya.

Kata beliau, mereka yang tidak sopan dan tandus kesusilaan tidak layak membarisi kepimpinan negara ini. – MalaysiaGazette