KOTA KINABALU – Kawalan keselamatan di Sabah terus dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan kemasukan rakyat asing untuk membuat kekacauan dan penculikan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pasukan keselamatan akan memastikan ancaman-ancaman itu tidak berlaku.
“Cubaan untuk culik (untuk mendapatkan wang tebusan) memang ada. Maklumat ini kita terima daripada pasukan keselamatan Filipina…memang ada cubaan (penjenayah) di sana untuk menyeberang untuk melakukan jenayah tersebut,” katanya.
Malah terdapat sembilan cubaan masuk kumpulan penjenayah dari Filipina yang dipercayai cuba melakukan kegiatan menculik untuk wang tebusan di Sabah sejak Mei lepas sehingga kini, katanya kepada pemberita selepas meninjau pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Sabah, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Hazani mendedahkan pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat negara asing untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Sabtu ini.
— BERNAMA