Home Ekonomi Perjanjian jual beli TikTok tidak adil, tiada sebab China perlu setuju

Perjanjian jual beli TikTok tidak adil, tiada sebab China perlu setuju

SHANGHAI – China tidak ada sebab untuk meluluskan perjanjian kotor dan tidak adil berdasarkan tindakan ‘membuli dan pemerasan’ oleh Oracle Corp dan Walmart Inc terhadap ByteDance, kata akhbar China Daily.

“Apa yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap TikTok hampir sama dengan gengster yang memaksa perjanjian perniagaan yang tidak masuk akal dan tidak adil pada syarikat yang sah,” menurut editorial akhbar itu.

Ketiga-tiga syarikat itu telah mengeluarkan pernyataan bertentangan mengenai syarat-syarat perjanjian yang membolehkan aplikasi video ByteDance TikTok terus beroperasi di Amerika Syarikat.

Perjanjian itu muncul selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk melarang aplikasi tersebut beroperasi di AS atas alasan keselamatan.

ByteDance memaklumkan ia akan menubuhkan anak syarikat AS, TikTok Global yang mana ia akan memiliki 80%.

Bagaimanapun, Oracle dan WalMart mengatakan bahawa pemilikan majoriti TikTok Global berada di tangan firma AS bagi mematuhi perintah eksekutif yang dibuat pada 14 Ogos oleh Trump.

Dalam arahan itu, ByteDance perlu melepaskan pemilikan TikTok dalam 90 hari.

“Keamanan nasional telah menjadi senjata pilihan … Washington mahu mengekang kebangkitan syarikat-syarikat dari negara-negara asing yang mengungguli rakan saingan AS.

“Bytedance … kehilangan bukan hanya kawalan syarikat, tetapi juga teknologi terasnya yang telah dibuat dan dimiliki.

“China tidak mempunyai alasan untuk memberikan lampu hijau untuk perjanjian seperti itu,” menurut editorial media itu. – MalaysiaGazette