KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan Ogos 2020 turun 1.4 peratus pada kepada 120.1 berbanding 121.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-9.9%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.0%), Pakaian & Kasut (-0.6%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.
Walau bagaimanapun, makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.3 peratus kepada 135.2 berbanding 133.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.
Selain itu, pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.1 peratus diikuti komunikasi (1.6%), kesihatan (1.1%) dan pendidikan (1.1%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Ogos 2020 berbanding Julai 2020.
IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan diesel.
Purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada Ogos 2020 iaitu RM1.68 per liter berbanding RM2.08 pada Ogos 2019.
Disamping itu, purata harga RON97 menurun kepada RM1.98 per liter berbanding RM2.51 dan purata harga diesel menurun kepada RM1.81 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Ogos 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya dan antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (3.1%), komunikasi (1.6%), kesihatan (1.1%) dan pendidikan (1.1%).
Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.
Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.2 peratus berbanding Julai 2020.
Peningkatan ini telah disumbangkan oleh pelbagai barangan & perkhidmatan (0.7%), pengangkutan (0.4%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (0.2%), makanan & minuman bukan alkohol (0.1%), minuman alkohol & tembakau (0.1%), kesihatan (0.1%) dan restoran & hotel (0.1%).
Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 menurun 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini dipengaruhi oleh Pengangkutan (-10.0%), pakaian & kasut (-1.0%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-1.0%).
Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.7 hingga -2.2 peratus bagi Ogos 2020 berbanding Ogos 2019 dengan Melaka merekodkan penurunan tertinggi (-2.2%) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2%). – MalaysiaGazette