KUALA LUMPUR – Sebanyak 98 peratus permohonan moratorium lanjutan dan bank bersasar telah diluluskan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, sehingga 11 September, institusi perbankan telah berbincang dengan lebih 1.4 juta peminjam dan lebih 380,000 peminjam telah mengesahkan yang mereka benar-benar memerlukan bantuan ini.
Menurutnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memastikan institusi perbankan
memainkan peranan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang benarbenar memerlukan dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.
”Memandangkan moratorium automatik bakal berakhir hujung September ini, saya menyeru orang ramai yang masih belum memohon
untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing untuk membuat permohonan,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas Kita Prihatin di sini hari ini.
Bulan Mac lalu, Bank Negara Malaysia membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli, untuk tempoh enam bulan.
Ia langkah tambahan BNM untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang dijangka terkesan oleh penularan Covid-19.
Muhyiddin kemudian mengumumkan pada bulan Julai lalu tentang moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar selama tiga bulan lagi khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette