Home Sukan Hampiri zon penyingkiran, Felda United belum cemas

Hampiri zon penyingkiran, Felda United belum cemas

Foto Facebook Felda United.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil belum mahu berasa cemas dengan peluang pasukannya untuk kekal dalam saingan CIMB Liga Super musim depan biarpun kini skuad The Fighters itu hanya dipisahkan satu mata di atas zon penyingkiran.

Bagi Nidzam, situasi ini bukan sesuatu yang asing buat dirinya selepas berjaya bangkit pada perlawanan terakhir pada musim lalu untuk kekal dalam CIMB Liga Super.

Namun, beliau mengakui prestasi Felda United sedikit dilanda kemerosotan selepas liga bersambung kembali pada 28 Ogos lalu yang memperlihatkan mereka sekadar mengutip dua mata daripada empat perlawanan terakhir.

Justeru, Nidzam mengharapkan peningkatan yang akan ditunjukkan anak buahnya dalam tiga perlawanan terakhir, bermula dengan Perak pada  Jumaat ini bagi memastikan hayat Felda di CIMB Liga Super mampu diteruskan.

“Selepas lima bulan tidak bermain, ada pasukan yang pamer peningkatan ketara dan ada pasukan yang merosot sepertimana pasukan Felda.

“Ini bukan sebab salah taktikal pasukan atau faktor-faktor lain tetapi semuanya perancangan pasukan mana yang lebih berjaya selepas liga ditangguhkan.

“Dalam situasi sekarang, saya tidak nafikan tuah juga memainkan peranan penting namun segala-galanya kena datang melalui usaha sendiri terlebih dahulu.

“Pengalaman musim lalu mungkin penting untuk beri keyakinan yang mereka boleh harunginya sekali lagi walaupun di atas kertas kami tidak nafikan perlawanan yang sukar,” katanya kepada Liga Bola Sepak Kebangsaan (MFL) di sini hari ini.

Selepas berdepan Perak pada 25 September di Stadium Perak, dua lagi baki perlawanan buat Felda ialah menentang Terengganu di laman sendiri (2 Oktober) dan aksi terakhir dengan Selangor (10 Oktober) di Stadium UiTM Shah Alam.

Felda sekadar mengutip satu mata pada pertemuan terakhir dengan Pahang, pada minggu lalu dan mereka kini bersaing rapat dengan PJ City FC dan Sabah ketika PDRM dilihat semakin menghampiri penyingkiran selepas masih di dasar liga dengan -1 mata.

Nidzam meletakkan empat mata sebagai sasaran yang perlu dicapai oleh pasukannya jika mahu berada dalam zon selamat.

“Dalam tiga perlawanan akan datang, kami memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat mata jika mahu kekal dalam Liga Super.

“Namun saya akui bukan jalan mudah untuk berdepan Perak pada minggu ini yang sudah tentu mahu kemenangan kerana mereka memburu tempat di Piala AFC.

“Tiada istilah kami sekadar mahukan satu mata sahaja dalam perlawanan ini kerana matlamat utama adalah mahu raih kemenangan bagi terus cerahkan peluang kami untuk kekal,” katanya. – MalaysiaGazette