Home Nasional Polis serbu gerai makan beroperasi tanpa lesen

Polis serbu gerai makan beroperasi tanpa lesen

Sebuah gerai makan yang beroperasi tanpa lesen digempur pihak berkuasa tempatan dan polis Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Polis menyerbu sebuah gerai makan yang beroperasi secara haram di Sunway Mentari, di sini dalam satu operasi bersepadu semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil siasatan mendapati gerai yang didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan beroperasi hingga awal pagi, termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mensyaratkan operasi sehingga 12 tengah malam sahaja.

“Dalam serbuan itu, seorang suspek lelaki tempatan berusia 47 tahun yang merupakan pemilik gerai itu ditahan kerana menggaji sembilan warga asing iaitu enam lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Algeria,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu turut disertai Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).

Menurut Nik Ezanee, gerai berkenaan pernah diserbu sebelum ini tetapi tidak diendahkan pemilik premis sehingga berani meneruskan operasi dengan menggaji warga asing.

Katanya, dalam sebuah pukul 10.30 malam itu, polis turut menahan tujuh lelaki warga asing pelanggan premis itu berusia antara 20 hingga 47 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Polis juga mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap 21 orang pengunjung termasuk penjaga premis itu atas kesalahan tidak melaksanakan penjarakan sosial di bawah Peraturan 11(1) peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan (No 8) 2020.

“Polis turut merampas satu set sistem audio berjenama Sony yang disyaki digunakan untuk berkaraoke di dalam premis tersebut tanpa lesen yang sah,” katanya.

Sementara itu, Nik Ezanee memberitahu, MBPJ telah menyita premis itu dan barangan yang terdapat dalam gerai itu di bawah Undang-Undang Penjaja (MBPJ) 2007 manakala bekalan  elektrik dipotong TNB.

PTD pula mengeluarkan notis Akta Tanah Negara kepada pemilik premis kerana menduduki atas tanah milik Syarikat Prasarana Berhad, ujarnya.

“Polis juga berjaya menahan suspek penjaga premis untuk direman selama tiga hari manakala kesemua suspek pekerja premis itu direman 14 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (1)C Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Hiburan Kerajaan Tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette