Home PRN Sabah Walaupun sakit, warga emas teruja mahu mengundi

Walaupun sakit, warga emas teruja mahu mengundi

Pengundi DUN Apas, Saibudin Abas, 66, yang mempunyai sakit lutut sedang duduk berehat di ruang tamu rumahnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di flat PPR Balung, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – “Memang saya berkobar-kobar mahu mengundi, calonnya pun sudah saya letak dalam hati,” luah seorang pengundi warga emas, Saibudin Abas, 66, ketika ditanya tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas itu berdoa agar beliau diberikan peluang untuk mengundi pada PRN ke 16 ini.

“Tidak boleh diubah sudah. Itulah orang dia. Mudah-mudahan sempatlah saya mengundi.

“Umur begitu kita tidak tahu bagaimanakan? Mudah-mudahan saya sempat mengundi sekali lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Balung baru-baru ini.

Tambah bekas mekanik itu, beliau mula sakit lutut sejak tiga bulan lalu dan ia menghadkan pergerakan.

Namun itu tidak menghalang beliau untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

“Saya sakit lutut, sudah tiga bulan sakit. Sebelum ini boleh jalan pakai tongkat tapi sekarang tak boleh sebab lutut ini tidak tahan, sakit.

“Saya duduk di sofa, baring di sini dan tidur disini. Ini tempat saya bergerak.

“Ada keluarga jaga, isteri jaga. Kalau nak pergi tandas pun mereka iring takut jatuh,” katanya lagi.

Pengundi DUN Apas, Saibudin Abas, 66, kelihatan sebak ketika bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di flat PPR Balung, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

DUN Apas menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dari Perikatan Nasional (PN) ditentang calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Amrullah @ Ambrullah Kamal selain calon Parti Cinta Sabah (PCS) Datu Indal Datu Ismail serta Muhd Sayardi Bakal daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – MalaysiaGazette