KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau terpaksa membatalkan semua jadual termasuk Ceramah Perdana bersama Perdana Menteri pada malam ini selepas diarahkan kuarantin.
Kenyataan itu sekali gus menjawab persoalan ketidakhadirannya pada majlis tersebut.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan juga Koordinator Pilihan Raya Negeri Sabah itu berkata, arahan itu diperoleh dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu hari ini kerana beliau adalah kontak dengan Datuk Razlan Muhammad Rafiq yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
”Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kurantin di kediaman di KK bagi tempoh tertentu
”Untuk makluman, dua hari lepas saya telah jalani ujian RT-PCR Covid-19 di HKL dan di sahkan negative
”Hari ini saya jalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan KK dan keputusan dijangka diperolehi sehari dua lagi,” katanya di sini.
Susulan perintah itu, lawatannya ke Pitas dan Kota Belud yang dijadualkan esok serta program lain yang telah disusun juga dibatalkan.
“Namun, Insya Allah saya akan terus bertugas dari kediaman saya dan boleh serta akan berkomunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa,” ujarnya sambil memohon maaf terhadap sebarang kesulitan
Annuar turut berpesan agar semua jentera BN dan Gabungan Rakyat Sabah terus berjuang habis-habisan dalam 48 jam ini dan terus mengajak rakyat Sabah supaya menolak Warisan agar bumi Sabah terbela sepenuhnya. – MalaysiaGazette