Home Seni Hidup Faizal jatuh dilambung kuda setinggi 8 kaki

Faizal jatuh dilambung kuda setinggi 8 kaki

KUALA LUMPUR – Kredibiliti komposer dan penyanyi, Faizal Tahir dalam menghasilkan lagu tidak perlu disangkal lagi.

Malah, figura yang sudah 15 tahun berada dalam arena muzik tempatan ini menjadi antara idola bagi kebanyakan generasi baru, baik dalam bidang penciptaan lagu mahu pun nyanyian.

Satu kelebihan Faizal, 42, atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir apabila setiap karya yang dihasilkan itu sarat dengan mesej berguna bukan saja untuk diri sendiri, tapi buat pendengar dan masyarakat umumnya.

Tidak kira genre lagu yang ditampilkan pada setiap karya, Faizal berjaya memikat hati peminat muzik tempatan sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaharu, Faizal yang popular menerusi lagu Ragaman muncul menerusi single Nobody terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar.

Menurut Faizal, perkara penting yang ingin disampaikan dalam lagu Nobody ini adalah mesej buat diri sendiri dan orang sekeliling.

“Apa cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dahulu, yang mana saya ini ‘nobody’ tanpa ‘somebody’ yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang.

“Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri saya kepadanya, menjaga dengan baik dengan jujur, ikhlas kerana Allah SWT. Sebab apabila buat macam itu barulah dapat hadiah teragung iaitu bersamanya di syurga nanti.

“Jadi, pada saya keunikan lagu ini adalah mesej yang ingin disampaikan. Sebab muzik adalah muzik. Kita boleh berikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan.

Seperti kebanyakan karya lain juga, lagu ini sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut Faizal, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea sekali gus dapat melahirkan sebuah karya yang terbaik dan unik.

“Harapan saya setiap kali keluar lagu, mestilah saya mengharapkan mesej yang disampaikan diterima dan dihadam dengan baik. Paling penting dapat memberi manfaat kepada orang yang mendengar dan memahaminya.

Majlis pelancaran muzik video Nobody berlangsung semalam.

Konsep video muzik (MV) Nobody mengisah tentang seorang pejuang dan pengembara iaitu Faizal yang terjaga seorang diri bersama seekor kuda di sebuah dunia fantasi yang tidak diketahui.

Dia cuba mencari jawapan dan arah tuju sehingga terjumpa sehelai selendang yang sangat dikenali dan terus mencari pemilik selendang tersebut.

Kuda itu pula merupakan simbolik yang dia harus terus bergerak dan mencari walaupun berada di dunia lain yang tidak diketahui.

Pengarah MV ini, Syahirism berkata, antara kenangan dan cabaran yang paling sukar dalam proses pengambaran ini adalah untuk mengendalikan kuda tersebut apabila Faizal jatuh dilambung oleh kuda itu dari ketinggian lebih lapan kaki.

Seluruh anggota produksi terus berlari ke arah Faizal untuk memeriksa keadaannya, walaupun berada dalam kesakitan tetapi Faizal tetap ‘berdegil’ dan meneruskan pengambaran tersebut sehingga selesai.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong berkata, kerjasama selaku pengedar lagu Nobody ini adalah sesuatu yang bermakna buat pihak mereka.

“Universal Music Malaysia dan Faizal sudah cukup sinonim. Malah, sudah banyak kerjasama yang terjalin antara kedua pihak sebelum ini. Jadi, apabila pihak kami diberi tanggungjawab untuk mengedarkan lagu terbaharu Faizal, bagi saya ia sesuatu yang cukup bagus.

“Kepercayaan yang diberikan menjadikan hubungan antara kedua pihak lebih utuh. Malah, selaku pengedar juga sudah tentu kami yakin dan percaya dengan hasil kerja Faizal dan pasukan.

“Pihak Universal Music Malaysia juga sebenarnya tidak sabar untuk melihat maklum balas balas daripada peminat muzik tempatan. Saya berharap lagu ini akan pergi jauh seperti kebanyakan karya lain juga,” katanya.

MV Nobody boleh ditonton di Youtube bermula hari ini pukul 3 petang. – MalaysiaGazette