Home Politik Shafie, mana janji sahabat kamu? – Muhyiddin

Shafie, mana janji sahabat kamu? – Muhyiddin

Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) N.12 Sulaman, Datuk Hajiji Noor (tengah) dan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) N.14 Tamparuli, Datuk Jahid Jahim (kanan) mengangkat tangan bersorak pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan janji Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sebelum ini mahu bersama-sama dengannya ketika awal penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun kata Muhyiddin, Ketua Menteri Sabah itu membuat keputusan untuk berpaling tadah akhirnta malah tidak sehaluan dengan Bersatu itu dengan terus menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Shafie bersama-sama dengan saya bila saya bentuk Bersatu dia kata dia tidak mahu bersama kerana dia mahu pulang ke negeri Sabah untuk membina sebuah parti baru yang namanya Warisan. Saya kata tidak apalah kalau begitu.

“Sebelum itu, dia datang ke rumah saya berpeluk-peluk, masa itu belum Covid-19, kata kita sahabat dia, kata jangan susah saudara, jangan susah sahabat.

“Bila sampai saat-saat yang paling kritikal saat saya memerlukan sokongan, dia kata dia tidak mahu sokong saya, dia ikut haluan dia sendiri. Di mana janji kamu sahabat?” soal Muhyiddin yang juga Perdana Menteri.

Sebagai seorang rakan lama dalam politik, meskipun kekal bersahabat atau tidak, ia perkara yang tidak mustahil namun ujar Muhyiddin, adalah lebih baik sekiranya Warisan sehaluan dengan kerajaan Persekutuan yang dipimpnnya.

“Alangkah elok saya memimpin nasional, beliau (Shafie) di Warisan bersama-sama dengan PN. Itukan molek,” katanya ketika hadir di Majlis Ramah Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli di Kampung Sungai Damit hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PN Sabah merangkap Ketua Bersatu Sabah yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan merangkap Ketua UMNO Bahagian Tuaran dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim.- MalaysiaGazette