Home Nasional Curi di KL, lerai komponen kereta curi di Nilai

Curi di KL, lerai komponen kereta curi di Nilai

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (tengah) diiringi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (dua kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid (dua kanan) menunjukkan barang rampasan yang dipamerkan selepas sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur melibatkan tiga kes jenayah yang berlaini sekitar Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Modus operandi sindiket curi kereta mewah di ibu kota yang dikenali Geng Wiliam yang aktif sejak tahun 2007 terbongkar apabila polis berjaya menahan 10 individu termasuk seorang wanita baru-baru ini.

Ia bermula daripada siasatan terhadap kes kecurian kereta Toyota Vellfire di rumah seorang mangsa di Taman Naga Emas, Salak Selatan di sini pada 24 Ogos lalu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kesemua 10 iindividu yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 66 tahun.

Kesemua saspek telah ditahan antara 8 hingga 24 September lalu di beberapa lokasi berasingan.

Geng Wiliam mencuri kenderaan mewah sekitar Lembah Klang sebelum membawanya ke sebuah setor di Kawasan Perindustrian 7, Nilai di Negeri Sembilan.

Di dalam setor berkenaan mereka meleraikan kenderaan kepada komponen kecil sebelum menyimpan, membungkus dan menjual di sebuah premis tersembunyi di Sentul di sini.

“Pada serbuan pertama di Selangor, dua lelaki tempatan ditangkap kemudian membawa kepada enam lagi lelaki tempatan disusuli seorang lagi lelaki lagi serta seorang wanita tempatan.

“Selain Kuala Lumpur, polis turut membuat serbuan di beberapa negeri iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang sebelum berjaya menemui sebanyak enam buah kereta curi pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM600,000,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Saiful Azly, pihaknya juga menemui sebuah kereta Honda Civic yang hilang pada 6 Ogos lalu di Pandan Indah di dalam setor milik Geng Wiliam di Nilai.

Tambah beliau nilai kesemua barangan yang ditemui di setor berkenaan adalah RM500,000 sementara siri serbuan lain di Sentul juga pihaknya merampas barangan bernilai RM150,000.

Menurutnya, siasatan lanjut polis mendapati modus operandi kumpulan berkenaan adalah salah seorang daripada mereka merancang dan mengenalpasti sasaran manakala ahli kumpulan yang lain akan menggunakan peralatan jammer dan immobilizer untuk menghidupkan enjin kenderaan sebelum melarikannya dan diletakkan di lokasi yang ditetapkan ketua kumpulannya.

“Salah seorang ahli kumpulan itu akan berperanan sebagai broker menentukan kereta tersebut dipotong untuk mendapatkan aksesori yang mempunyai permintaan tinggi dari pelanggan manakala kereta mewah yang dicuri akan dijual di pasaran gelap.

“Semakan jenayah lampau terhadap kesemua suspej mendapati mereka mempunyai jenayah rekod lampau pelbagai kesalahan termasuk kereta curi dan dua daripadanya sedang menjalani perintah pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) atas kesalahan curi kenderaan, kes dadah dan pernah dibuang daerah.

“Dengan tertangkapnya 10 ahli geng berkenaan polis yakin berjaya menyelesaikan 20 kes kecurian kenderaan iaitu tujuh di Kuala Lumpur, tujuh di Selangor, tiga kes di Perak dan tiga lagi di Melaka.

“Polis masih meneruskan siasatan untuk menjejaki kenderaan Vellfire yang masih belum ditemui dan juga saki-baki ahli kumpulan ini yang dipercayai masih bebas,” tegasnya.-MalaysiaGazette