Home Nasional Isu Unifi: TM diberi Surat Amaran Akhir

Isu Unifi: TM diberi Surat Amaran Akhir

SKMM

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan Surat Amaran Akhir kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas berlaku isu perubahan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps baru-baru ini.

Tegas SKMM, kegagalan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan melalui Surat Amaran Akhir itu boleh menyebabkan  tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jelasnya, Surat Amaran Akhir itu antara lain meminta TM mematuhi Seksyen 1.2 Kod Amalan Am Pengguna (GCC) yang mengkehendaki pemberi perkhidmatan memberi maklumat yang mencukupi, tepat, benar, terbaru dan dalam bahasa yang mudah serta tanpa berselindung kepada pengguna.

TM juga diminta memperbetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran hebahan serta membuat pelan komunikasi untuk pelanggan yang terjejas.

Syarikat telekomunikasi itu juga perlu mengamalkan cara perniagaan beretika dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat pada sepanjang masa, tegas SKMM.

“TM juga diingatkan untuk memastikan pelanggan mereka menikmati kualiti perkhidmatan seperti yang terdapat dalam pakej yang dilanggan dan memberitahu pelanggan tentang isu-isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu.

“SKMM akan memastikan bahawa hak pelanggan yang terjejas oleh kekeliruan yang timbul akibat perubahan maklumat pakej Unifi 500Mbps ditangani secara adil oleh TM.

“SKMM amat memandang berat kelemahan kawalan dalaman di TM hingga mencetuskan kekeliruan ini,” katanya.

Tambah suruhanjaya itu, insiden tersebut diharapkan menjadi peringatan kepada semua syarikat pemberi perkhidmatan supaya memastikan pengguna terus menjadi asas semua amalan perniagaan.

SKMM juga katanya sedang menyemak semula GCC agar pemberi perkhidmatan lebih prihatin dalam amalan berkaitan pengguna.- MalaysiaGazette