SEMPORNA – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Senallang melihat perjalanan proses pengundian hari ini bermula agak perlahan.
Jelas beliau, ia dipercayai disebabkan oleh peraturan ketat dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Alhamdulillah, proses perjalanan pengundi agak perlahan dan mungkin disebabkan oleh SOP yang terpaksa dijalankan di mana lambat sikit, saya harap ia akan mencapai sasaran kebiasaannya.
“Lepas ini mereka akan mengundi tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin. Setiap rakyat di negara Malaysia layak mengundi dan mereka wajib untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Biasanya dalam 70 peratus jangkaan mengundi tapi agak lambat dan banyak isu mungkin tidaklah seperti dahulu dan kita akan pastikan mereka akan turun mengundi,” katanya kepada media selepas selesai memangkah undi di Sekolah Kebangsaan Bubul, sebentar tadi.
Beliau ditemani isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bubul jam 8.10 pagi dan selesai mengundi jam 8.23 pagi.
Shafie berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Norazman Utoh Nain, yang juga anak buahnya, serta Datu Pangeran Ahmad Datu Ali Alam dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).
DUN Senallang mempunyai 14,336 pengundi. – MalaysiaGazette