NEW YORK – Jepun nekad untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2020 yang ditangguhkan pada tahun depan di sebalik penularan pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan.
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, penganjuran sukan pada musim panas tahun depan termasuk Paralimpik Tokyo sebagai bukti manusia sudah menewaskan pandemik ini.
“Saya akan terus berusaha untuk menyambut kedatangan atlet ke temasya itu dalam keadaan selamat,” kata Suga pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Temasya terbesar dunia itu yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu terpaksa ditangguhkan pada tahun depan gara-gara pandemik Covid-19.
Namun, jumlah jangkitan yang terus meningkat di seluruh dunia menimbulkan persoalanĀ sama ada temasya itu boleh diteruskan tahun depan.
Penganjur dan pegawai Olimpik menegaskan temasya berkenaan tetap akan berlangsung dengan Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates berkata ia perlu diteruskan bagi mengelak kekecewaan dalam kalangan atlet sekiranya ia dibatalkan.
Bagaimanapun, pakar perubatan memberi amaran penganjuran temasya berskala besar di peringkat antarabangsa mungkin sukar dilaksanakan sekiranya pandemik berkenaan masih belum mampu dikawal menjelang musim panas tahun depan.
Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan semula akan berlangsung pada 23 Julai hingg 8 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik bermula 24 Ogos hingga 5 September tahun depan. – MalaysiaGazette