Home Politik Tahniah pemimpin wanita Warisan yang keluar parti – Zuraida

Tahniah pemimpin wanita Warisan yang keluar parti – Zuraida

Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Tindakan sebilangan besar pimpinan tertinggi wanita Parti
Warisan Sabah (Warisan) bersepakat untuk keluar parti hingga menyebabkan sayap wanita parti tersebut lumpuh menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah harus dipuji.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zuraida Kamaruddin berkata, mereka mempunyai pendirian dan sanggup menghadapi sebarang
kemungkinan dalam mempertahankan prinsip mereka.

Tegas Ahli Parlimen Ampang itu, wanita perlu sedar dalam memperjuangkan sesuatu iltizam yang dibawa oleh apa jua parti, golongan itu memainkan peranan yang penting,
menjadi tulang belakang perjuangan dan bertindak sebagai teraju dalam mengumpul sokongan rakyat akar umbi.

“Tindakan para wanita yang hebat ini sesungguhnya membuktikan wanita di Sabah sudah muak dengan retorik yang sering dimainkan  oleh Parti Warisan Sabah dan PH Plus yang hanya pandai menabur janji palsu sahaja.

“Syabas dan tahniah kepada para wanita yang berani menyatakan kebenaran dan mengambil keputusan untuk bertindak demi masa depan Sabah yang lebih gemilang. Ini adalah kebangkitan politik norma baharu yang wajar disanjung,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam beberapa pemimpin tertinggi Wanita Warisan termasuk Bendahari, Saleha  Tahir dan Ketua Penerangan, Margaret Tambakau mengumumkan meninggalkan parti itu.

Menurut Saleha, mereka keluar dari Warisan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Shafie Apdal.

Katanya para pemimpin Warisan telah gagal dalam menjaga kebajikan kaum wanita di dalam parti itu.  – MalaysiaGazette